Pemansuhan syarat i-Sinar ambil sedikit masa

Butiran lanjut mengenai pemansuhan syarat i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mempermudahkan ahli membuat pengeluaran daripada simpanan Akaun 1 akan mengambil sedikit masa.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ini kerana ia akan membabitkan perubahan kepada sistem KWSP.

“Masa juga diperlukan untuk membekukan transaksi buat sementara waktu bagi membolehkan sistem KWSP untuk mengkreditkan dividen bagi tahun 2020 ke dalam akaun ahli selepas pengumuman dividen pada hujung Februari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-41, hari ini.

“Sehubungan itu, kerajaan juga sudah berbincang dengan pihak KWSP untuk mempermudahkan proses kelulusan, terutama bagi mereka yang sudah pun membuat permohonan, atau permohonannya sedang diproses.

“Ini akan membabitkan perubahan kepada sistem KWSP, yang akan mengambil sedikit masa,” katanya.

Kerajaan pada 11 Februari lalu mengumumkan mengenai pemansuhan syarat i-Sinar KWSP bagi mempermudahkan ahli

membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 1.

Pemansuhan syarat i-Sinar itu akan membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran daripada simpanan Akaun 1, tertakluk kepada baki yang sedia ada.

Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM5,000.

Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000 pula, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 atau maksimum RM60,000.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker