SPRM tangkap pemimpin parti politik, rampas RM1.2 juta beku RM77 juta

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan seorang timbalan pengerusi negeri sebuah parti politik.

Pemimpin itu, dakwa SPRM mempunyai kaitan dengan seorang bekas menteri kerana disyaki menerima rasuah daripada beberapa syarikat yang memperoleh projek di sebuah kementerian pada 2019.

“Turut ditahan dalam operasi yang dijalankan di sekitar Ipoh semalam ialah dua pengarah syarikat.

“Dalam pada itu, SPRM telah merampas sejumlah wang tunai berjumlah RM1.2 juta yang dipercayai wang rasuah disimpan di rumah dan pejabat proksi kepada bekas menteri dan timbalan pengerusi tersebut.

“Turut dirampas ialah sebuah kereta mewah yang digunakan oleh bekas menteri tersebut sebagai kenderaan rasmi dan dipercayai milik salah seorang pengarah syarikat yang diluluskan projek berkenaan,” kata suruhanjaya itu pada kenyataan hari ini.

Menurut SPRM, setakat ini beberapa akaun syarikat dan individu berjumlah RM77 juta juga telah dibekukan untuk tujuan siasatan.

“Ketika ini, siasatan masih lagi berjalan dan SPRM berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan ini,” jelas kenyataan itu lagi.

Leave a Reply