Isu darurat: Muhyiddin, kerajaan mohon batal saman Khairuddin

Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Malaysia memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula bekas penyelaras Parlimen Jasin Khairuddin Abu Hassan yang mencabar tindakan Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi mengekang penularan Covid-19.

Muhyiddin dan kerajaan sebagai defendan pertama dan kedua memfailkan permohonan itu menerusi Peguam Persekutuan hari ini atas alasan tuntutan saman tersebut mengaibkan, remeh, menyusahkan dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Peguam Cara Negara Abdul Razak Musa, menerusi afidavit sokongan difailkan bersama permohonan itu berkata tiada sebarang bukti dalam permohonan Khairuddin, selaku plaintif mahupun afidavit sokongannya yang menyokong penegasan plaintif bahawa Muhyiddin telah hilang kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Menurut Abdul Razak, plaintif juga gagal mengenal pasti hak umum dan hak persendirian atau kepentingan undang-undang plaintif yang telah dinafikan lanjutan daripada nasihat defendan pertama itu atau kerugian dialami secara peribadi akibat nasihat berkenaan dan isu atau kontroversi di antara diri plaintif dengan kedua-dua defendan yang memerlukan keputusan daripada mahkamah.

“Saya sesungguhnya percaya dan menyatakan permohonan plaintif adalah sia-sia dan membazirkan masa mahkamah kerana hanya mengandungi persoalan semata-mata tanpa matlamat yang sahih dan tidak memberikan manfaat kepada mana-mana pihak.

“Permohonan plaintif juga adalah salah di sisi undang-undang dan tidak bermerit,” katanya menerusi afidavit sokongan itu.

Takiyuddin Tegaskan Darurat Tiada Motif Politik

Pada 18 Jan lepas, Khairuddin memfailkan saman pemula itu antara lain memohon mahkamah memutuskan empat persoalan undang-undang dan keperlembagaan bahawa pengisytiharan Proklamasi Darurat tersebut adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Pada 12 Jan lepas, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Muhyiddin, pada hari sama, menjelaskan bahawa Jemaah Menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara mengikut Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa mulai 11 Jan hingga 1 Ogos 2021.

Antara lain, Perkara 150 (1) memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika baginda berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan terancam.

Pandemik Covid-19 kini menjadi ancaman besar terhadap kehidupan ekonomi rakyat di negara ini.

– Bernama

Henti main politik, nasihat Azmin kepada Anwar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker