Dianaktirikan dalam kerajaan, UMNO terpaksa akuinya – Shahril Hamdan

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan akui partinya dianaktirikan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) berikutan sering dibelakangi dalam keputusan kerajaan dan diserang oleh kepimpinan PPBM.

Beliau berkata sekiranya Umno dihormati dalam kerajaan PN, partinya tidak sepatutnya diserang oleh PPBM yang dikatakan ‘kawan’ dalam kerajaan ketika ini.

“Ada kawan-kawan dia (pimpinan PPBM) baru-baru ini keluar kenyataan soal akaun rahsia Umno. Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang berkata ia perlu disiasat dan kita tahu siasatan itu mungkin ada sangkut pautnya nak bagi ‘hint’ kepada Umno kalau perkara ini berlaku boleh menyebabkan status Umno dipersoalkan atau perkara lain pengharaman.



“Jadi perkara-perkara ini, “hint-hint” ini yang mana saya kira tak sesuai datang daripada seorang atau satu parti yang sekarang ini memimpin kerajaan yang mengatakan bahawa kami mengiktiraf kekuatan Umno,” katanya dalam wacana Sinar bertajuk “Tanpa PN, Umno sebatang kara”.

Shahril berkata kenyataan sebegitu tidak sepatutnya keluar daripada kepimpinan PPBM.

“Itu satu contoh. Point saya, kalau betul kawan dalam kerajaan, tak perlu keluar kenyataan begitu,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) digesa menyiasat dakwaan yang dibuat di mahkamah bahawa Umno mempunyai akaun bank rahsia yang tidak diaudit yang melanggar Akta Pertubuhan.



Gesaan itu dibuat oleh ahli Majlis Tertinggi PPBM Muhammad Faiz Naaman.

Dalam pada itu Shahril juga berkata Umno turut dianaktirikan selepas beberapa keputusan-keputusan besar negara dibuat tanpa rundingan dan pemakluman dengan partinya.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan keputusan besar itu.

“Saya ingat penonton boleh teka keputusan besar apa. Saya rasa saya nak ambil pendekatan yang bertanggungjawab saya tak nak buka sangat pekung di dada tetapi ada,” katanya.



Sementara itu, Ketua Penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan menafikan Umno dianaktirikan oleh kerajaan PN.

Beliau berkata jika dilihat pembahagian tugasan dalam kerajaan PN dibahagi sama rata.

“Amanah diberi secara adil. Saya tak rasa apa yang dianaktirikan.

“Mana ada kerajaan layan baik pada parti dalam kerjaaan yang serang sama sendiri.



“Tuduhan anak tiri tak betul. Dalam kerajaan PN mereka (Umno) kena banyak berkorban,” katanya.

Wan Saiful juga menggesa Umno berhenti keluarkan kenyataan yang menyebankan timbulnya perpecahan, masalah dan krisis dalam kerajaan PN.

Katanya, sebarang masalah perlu dibincangkan secara dalaman.

“Rakyat bosan di luar. Rakyat akan fikir kita hanya fikirkan diri sendiri,” katanya.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker