Daim dibidas! ‘Warlord’ apa? Bukan semua orang kaya ‘tak habis makan’ macam Daim – Shahrir

Sebaran :

 

PETALING JAYA: Seorang pemimpin veteran Umno mempersoalkan kenyataan veteran politik Daim Zainuddin bahawa Umno sarat dengan ‘warlord’ atau panglima perang hingga tertarik untuk memperkatakannya di laman Facebook.

Ketua Umno Johor Bahru, Shahrir Abd Samad berkata, beliau sendiri tertanya-tanya siapakah ‘warlord’ dalam parti yang kini sekadar ‘duduk’ di tepi dalam kerajaan orang lain.

Walhal, Umno sudah menerima hakikat bahawa ia bukan lagi parti memerintah dan kini terus menggerakkan perjuangan tanpa kewangan.

“Tapi Tun Daim tak henti dengan naratif dalam Umno ramai ‘warlord’ dan bersikap ‘delusional’, iaitu tak terima realiti.

“Umno dah terima ‘realiti’ yang kita bukan parti pemerintah tapi tetap mempunyai kekuatan berasas kepada kepemimpinan yang berpengalaman, kebijaksanaan pendekatan dan kekuatan akar umbi,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Katanya, ramai pemimpin Umno ketika ini bergerak tanpa kewangan sebaliknya hanya berteraskan semangat perjuangan dan sokongan akar umbi bagi mengembalikan parti itu sebagai pilihan rakyat berbanding PPBM, PKR, DAP atau Pejuang yang diketuai Tun Mahathir Mohamad.

Tegasnya, untuk menjadi ‘warlord’ parti mestilah berduit untuk membayar penyokong tegar, dan mana mungkin Umno menjadi ‘warlord’ memandangkan parti itu bukan lagi menjadi pemerintah sebaliknya hanya ‘duduk’ tepi dalam kerajaan orang lain.

“Tertanya juga, siapa ‘warlord’ dalam Umno ? Nak jadi ‘warlord’ kot mana, mestilah berduit. Kalau tak sama kaya seperti Tun Daim, hendaklah mempunyai dana yang boleh membiayai penyokong-penyokong tetap dan tegar dan kegiatan yang memperlihatkan kehadiran diri sendiri sebagai tokoh di kawasan sendiri.

“Duit semuanya. Lebih lagi dalam keadaan parti (Umno) yang telah kalah dan duduk tepi dalam kerajaan orang lain, bukan kita punya,”katanya.

“Kalau kaya macam Tun Daim, bolehlah. Kawan-kawan pun dari orang yang kaya-raya. Duit tak habis makan, banyak yang boleh dibagi-bagikan.

“Tapi, tetap nak hidupkan naratif UMNO ada ramai ‘warlord’ dan itu kononnya, penyakit dalaman UMNO,” katanya.

Daim dalam wawancara dengan FMT menyifatkan Umno sebagai tidak lagi mampu menarik sokongan majoriti rakyat kerana sarat dengan “warlord” yang beranggapan mereka masih menerajui negara.

Malah, menurut Daim, ramai pemimpin Umno “tidak belajar dari sejarah” dan gagal menawarkan sebarang kepemimpinan bermakna untuk kebaikan rakyat tetapi masih berlagak seperti “warlord” yang menguruskan negara.


Sebaran :

Leave a Reply