Sampai Bila Populariti Muhyiddin Mampu Bertahan?

Kerap muncul di kaca televisyen untuk menyampaikan perutusan bukan langkah terbaik bagi menaikkan populariti seseorang pemimpin.

Malah, mengakhiri perutusan dengan menadah tangan untuk berdoa juga tidak menjadikan seseorang pemimpin itu automatik suci kerana kita semua tahu siapa dalang yang memulakan ‘Langkah Sheraton’ pada 21 Februari tahun lalu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bermula dengan “baik” — sekurang-kurangnya itu yang diperkatakan dalam dapatan Merdeka Center pada September 2020.

Hasil penyelidikan itu mendapati Muhyiddin mendapat sokongan sebanyak 69 peratus.



Tahap populari itu mungkin dibantu strategi Muhyiddin yang membingkaikan dirinya sebagai ‘Abah’ yang tegas dengan rotan sentiasa di tangan.

Pendekatan ini mirip dan mungkin meminjam sistem moral konservatif ‘strict father’ yang lazimnya diamalkan parti Republikan di Amerika Syarikat – Perdana Menteri/Presiden sebagai ‘bapa yang tegas’ dan rakyat sebagai ‘anak’ yang perlu sentiasa patuh dengan arahan dan akan dihukum sekiranya membuat kesalahan.

Perihal ini diceritakan panjang lebar ahli linguistik, George Lakoff dalam bukunya Don’t Think of an Elephant!

Namun, autoriti ‘Abah’ yang tegas semakin memudar dan tidak lagi membangkitkan rasa gentar apabila rakyat bangkit mempersoalkan layanan antara dua darjat dalam pelaksanaan SOP Covid-19.



Kerajaan ‘Abah’ yang tegas kini kelihatan lemah apabila dilihat seolah-olah memberi layan istimewa dengan menetapkan kuarantin selama tiga hari untuk Kabinet sementara rakyat disuruh untuk melakukan hal sama selama tujuh hari.

Ia bukan soal tiga atau tujuh hari, tetapi soal perbezaan layanan antara dua darjat antara golongan kayangan dan golongan biasa yang tidak seharusnya berlaku.

Keputusan itu juga tidak mengambil kira sentimen rakyat yang beranggappan gelombang ketiga Covid-19 tercetus kerana kerakusan puak-puak Muhyiddin untuk merampas mandat rakyat di Sabah.

Hasilnya, rakyat yang menjadi mangsa dan terpaksa berdepan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 yang menjejaskan mata pencarian mereka.



Ini ditambah dengan pengumuman bantuan kewangan yang lemah oleh Muhyiddin malah mengecewakan rakyat yang menunggu sesuatu yang ‘luar biasa’ bagi meringankan beban mereka.

Setiap kali Muhyiddin muncul menyampaikan perutusan, tidak kurang warganet yang meluahkan kekecewaan terhadap cara beliau menangani krisis pandemik ini.

Muncul pelbagai ejekan seperti ‘abahkau’, ‘abahcow’ dan tanda pagar ‘SiBodohKauDengarSini’ yang sohor kini di Twitter baru-baru ini. Malah, wujud desakan berhubung isu i-Sinar dan moratorium pinjaman.

Ini mencerminkan hakikat bahawa populariti Muhyiddin tidak akan mencanak naik dengan hanya kerap muncul membaca teks perutusan. Inilah sebabnya mengapa rakyat secara sinis memberikan gelaran ‘Bapa Perutusan Negara’ kepada Muhyiddin.



Muhyiddin sedar akan hal ini dan keputusan secara tiba-tiba untuk menghapuskan syarat pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi i-Sinar mungkin adalah ‘trump card’ atau usaha terdesak beliau untuk memulihkan popularitinya yang terjejas teruk.

Namun sampai bila populariti Muhyiddin akan bertahan dengan langkah populis seumpama ini?

Yang pasti, Muhyiddin masih dikelilingi Menteri dan Timbalan Menteri yang ‘tidur’ dan diserang bertubi-tubi oleh rakan sekutunya UMNO malah semakin dibenci oleh rakyat.

Populariti ini nampaknya seperti tidak akan pulih dalam masa terdekat selagi ‘Menteri Air Suam’ terus dibiarkan menerajui kementerian yang dianggap sebagai perisai terakhir bagi menghadapi Covid-19.-MD



Populariti Najib Meningkat Kerana Dah Ramai Nampak Kebenaran

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker