Gangguan seksual: Beranikan diri lapor jika diganggu anggota penguatkuasa

Apa hak anda sebagai orang awam sekiranya polis menghentikan kenderaan anda ketika sekatan jalan raya?

“Jika seseorang itu tiada lesen tetapi mempunyai kad pengenalan, saman boleh dikeluarkan tetapi bukan untuk ditahan kerana ia bukan kesalahan yang membolehkan kita ditangkap atau diminta nombor telefon peribadi,” jelas Pensyarah Fakulti Undang- Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian yang sedang tular di media sosial apabila seorang pengguna Twitter mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang anggota polis ketika sekatan jalan raya di Jalan Duta pada 12 Februari.

Berdasarkan bebenang di akaun Twitter pengguna tersebut, beliau mendakwa polis bertugas menuduhnya tidak memakai pakaian dalam serta mengancam akan mengeluarkan saman kecuali jika beliau membuktikan sebaliknya.

“Selepas itu dia berkeras untuk bertukar nombor telefon dengan saya walaupun saya telah memberitahu yang saya tidak selesa,” jelas pengguna Twitter itu lagi.

Lebih daripada 300 sekatan jalan raya dilaksanakan di seluruh negara ketika pusingan kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini, namun ramai yang masih belum jelas mengenai hak mereka ketika berdepan situasi seperti ini.

“Ingat di mana ia berlaku, nama atau nombor di uniform dan segera buat laporan polis. Dalam apa juga keadaan kaum wanita mesti sentiasa berhati-hati dan beringat bahawa gangguan seksual boleh berlaku di mana-mana tanpa mengira jawatan atau kerja,” kata Noor Aziah yang juga Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Jika polis mengugut untuk menangkap dan meminta “bayaran” dalam bentuk seksual (raba, sentuh, pandang), ia adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 509 atau Seksyen 354 dan boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Noor Aziah juga menggesa mangsa tampil membuat laporan polis sekiranya berlaku sebarang salah laku termasuk yang melibatkan gangguan seksual oleh agensi penguatkuasaan ketika melaksanakan sekatan jalan raya semasa PKP.

Jelas beliau lagi, polis mempunyai prosedur operasi standard (SOP) apabila melakukan sekatan jalan raya ketika PKP.

“Polis diberi kuasa untuk menahan pemandu, mereka boleh bertanyakan destinasi (ketika tempoh PKP) dan sama ada merentas daerah atau negeri. Mereka juga dibenarkan untuk meminta lesen dan kad pengenalan untuk pemeriksaan.

“Sekiranya merentas daerah, perlu ada surat kebenaran polis balai berdekatan rumah dan mereka boleh arahkan untuk berpatah-balik sekiranya kita tiada surat tersebut,” katanya.

Noor Aziah juga mengingatkan agar semua agar sentiasa cakna hak dan keselamatan diri.

“Sebagai manusia dan rakyat Malaysia, kita ada hak asasi untuk hidup selamat. Pihak berkuasa seperti polis perlu menghormati hak itu,” katanya.

Walaubagaimana pun, tindakan pengguna Twitter tersebut menularkan kejadian ini di media sosial kurang wajar serta tidak melalui saluran yang betul.

“Berdasarkan undang-undang, sesiapa yang membuat aduan perlu diberi peluang didengar bagi mempertahankan diri dan jika tidak benar mereka boleh didakwa kerana membuat berita palsu.

“Tiada suatu kuasa yang tanpa had. Semuanya jelas diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 5 – hak untuk hidup dan kebebasan diri ) dan dalam menjalankan tugas perlu berlandaskan undang-undang dan etika kerja serta SOP yang ada,” tambahnya lagi.

— BERNAMA

Leave a Reply