Lebih 1,700 jenayah seksual kanak-kanak direkod pada separuh pertama 2020

Sebanyak 1,721 kes jenayah seksual kanak-kanak direkodkan setakat separuh pertama 2020, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff, melaporkan statistik polis setakat 30 Jun 2020.

“Mengikut pecahan daripada jumlah itu kesalahan rogol (651 kes), sumbang mahram (106 kes), luar tabii (106 kes), cabul (344 kes) dan kesalahan bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (514 kes),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) meminta menteri menjelaskan secara terperinci sejauh mana jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak yang menjadi mangsa pedofilia berlaku dan usaha menanganinya.

Zailah berkata, kajian penanda aras The Economist Intelligence Unit pada 2019 meletakkan Malaysia di tempat ke- 23 daripada 60 buah negara dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual.

Dalam perkembangan sama, susulan kes pedofilia seorang warganegara Britain, Richard Huckle pada 2016, kerajaan mengambil pelbagai tindakan untuk menangani jenayah pedofilia daripada aspek pencegahan, perundangan, intervensi, sistem sokongan, dan juga kajian atau penyelidikan lanjut untuk membantu memantapkan sistem sedia ada.

“Antara contoh inisiatif termasuklah, program advokasi seperti kempen keselamatan kanak-kanak di sekolah(seperti) Sahabat B.I.J.A.K (Banteras Indeks Jenayah terhadap Kanak-Kanak), penggubalan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak, dan penalti berat sehingga 30 tahun hukuman penjara dan hukuman sebat.

“Selain itu, penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak di Putrajaya pada 2017 dan di Kuching pada 2018 bagi mempercepatkan proses kehakiman kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.

Tahun lepas, kementerian juga mengadakan beberapa sesi perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri, polis, imigresen, dan Kementerian Luar Negeri berkaitan pembangunan SOP bagi memperketatkan kemasukan pesalah jenayah seksual ke dalam negara.

“Kerajaan sedang bekerjasama dengan Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef) untuk mengkaji jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam talian,” katanya.

Sementara itu, Zailah memaklumkan kementerian terbuka menerima sebarang cadangan termasuk pindaan hukuman dan penggunaan peranti pemantauan elektronik (EMD) terhadap pesalah jenayah seksual.

“Kita sentiasa berusaha meningkatkan pelbagai usaha bagi menghentikan jenayah terhadap kanak-kanak termasuklah meningkatkan hukuman,” katanya, menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH – Jelutong) yang mencadangkan EMD terhadap pesalah jenayah seksual selepas diberi jaminan dan sebelum perbicaraan. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker