Bimbang kerajaan mahu hapus peranan ayah sebagai pembangkang – Nooryana Najib

SHAH ALAM: Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najib bimbang matlamat kerajaan dalam perbicaraan pertuduhan ayahnya bertujuan menghapuskan peranan beliau sebagai suara pembangkang.

Menurutnya, Najib kini dilihat sebagai seorang pembangkang yang amat berkesan dalam menyemak imbang kerajaan.

“Saya khuatir yang matlamat kerajaan dalam pertuduhan dan perbicaraan ini adalah bukan untuk menegakkan keadilan, namun untuk menghapuskan suara ayah saya yang lantang.

“Pemimpin-pemimpin kerajaan telah menyatakan bahawa kesinambungan pemerintahan mereka bergantung kepada hukuman ke atas Najib.

“Oleh itu kerajaan dan pihak pendakwaan akan cuba sedaya upaya mereka untuk menghukum ayah saya (Najib),” katanya dalam hantaran di Facebook milik Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil pada Sabtu.

Jelasnya, sembilan bulan kebelakangan ini, mereka tidak dapat mematahkan perjuangan Najib dan ini mungkin peluang mereka.

“Mereka akan menggunakan semua instrumen yang ada, daripada saluran media kerajaan kepada saluran politik, untuk mencemarkan imej ayah saya supaya mudah mereka menjatuhkan hukuman bersalah ke atas beliau.

“Mereka telah melontarkan 42 pertuduhan ke atas ayah saya. Hanya satu sahaja pertuduhan perlu lekat atas alasan teknikal untuk mereka menutup mulut ayah saya, seorang yang paling kuat mengkritik kerajaan.

“Saya tidak tahu apa akan jadi kepada ayah saya selepas perbicaraan ini. Adakah beliau mampu terus bersabar dan bertahan?” soalnya.

Pada 12 Januari tahun ini, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dilaporkan berkata semua perbicaraan dan pendengaran kes jenayah di mahkamah terbuka yang dijadualkan dari 13 hingga 26 Januari ditangguhkan selaras dengan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Ini menyebabkan kes berprofil tinggi termasuk yang membabitkan Ahli Parlimen Pekan itu serta bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditangguh kerana tarikh perbicaraan mereka jatuh dalam tempoh PKP.

Bagaimanapun, pada 20 Januari, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengeluarkan arahan, iaitu walaupun kerajaan menguatkuasakan PKP, namun semua prosiding kes jenayah termasuk yang berkepentingan awam seperti rasuah dan jenayah komersial, akan terus dijalankan di mahkamah terbuka, berkuat kuasa 27 Januari.

Leave a Reply