Tarik diskaun elektrik, kenaikan harga petrol beri impak kepada perubahan kadar inflasi – Najib Razak

 

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Najib Razak berkata, penarikan diskaun elektrik dan kenaikan harga petrol akan memberi impak kepada perubahan kadar inflasi.

Beliau berkata keadaan itu berbahaya ketika pendapatan bulanan rakyat masih tertekan akibat pandemik Covid-19.

“Inflasi adalah negatif tahun lepas sebab diskaun bagi elektrik diberi, harga petrol yang jatuh ke sekitar RM1.30 dan permintaan domestik menjadi lemah.

“Tetapi diskaun elektrik ini sudah ditarik balik dan harga petrol telah beransur naik semula ke RM1.96,” katanya di Facebook.

Najib berkata pada Mac tahu lepas, beliau pernah menyarankan supaya kerajaan mewujudkan harga lantai bagi petrol pada kadar RM1.50 seliter agar naik-turun harga tidak begitu besar dan cukai yang dikutip pada masa itu boleh digunakan untuk menstabilkan harga petrol yang sudah tentu akan naik semula.

Katanya, namun kerajaan tidak memilih untuk menetapkan harga lantai, sebaliknya cukai tersembunyi 10% dikenakan pada masa itu.

Najib juga berkata mengikut laporan Bank Negara Malaysia hanya 43 daripada setiap 100 orang yang hilang kerja tahun lepas berjaya mencari pekerjaan baharu.

Katanya, bagi sektor berkait pelancongan, 28 daripada setiap 100 orang berjaya mendapat pekerjaan baharu.

“Mungkin kerajaan boleh pertimbangkan lagi cadangan saya masa perbahasan Bajet 2021 agar satu skim pinjaman upskilling/reskilling ala PTPN diwujudkan bagi pekerja sektor yang paling lambat memulih seperti sektor pelancongan dan pekerjaan,” katanya.

Pada 11 Feb, media melaporkan prestasi ekonomi Malaysia dijangka berhadapan penguncupan lebih tinggi dalam suku ke-4 dan keseluruhan tahun lalu mengambil kira pandemik Covid-19 yang masih menghantui negara.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang perlahan pada kadar 0.7% pada suku pertama 2020 sebelum mencatatkan pertumbuhan terendah sejak suku ke-4 1998 apabila menguncup tinggi sehingga 17.1% dalam suku ke-2 ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, kedudukan ekonomi menunjukkan pemulihan apabila hanya menguncup 2.7% dalam suku ke-3 tetapi PKP bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di beberapa buah negeri pada Okt dijangka memberi impak negatif kepada prestasi KDNK.

Leave a Reply