Gaji penjawat patut disemak 5 tahun sekali, kata bekas presiden Cuepacs

SHAH ALAM: Semakan skim gaji dan elaun penjawat awam perlu dibuat sekurang-kurangnya lima tahun sekali bagi menangani kes rasuah, kata bekas presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Omar Osman berkata semakan itu perlu diselaraskan dengan kos sara hidup semasa berikutan pendapatan tidak seimbang akan memberi tekanan dan membuka ruang kepada perbuatan rasuah.

“Kenapa sebelum ini tidak timbul soal rasuah melibatkan penjawat awam dan sekarang ia banyak berlaku? Sebab itu perkara ini perlu dilihat semula,” katanya seperti dipetik akhbar Sinar Harian.

Tambah beliau, golongan B40 bukan sahaja berdepan kesusahan untuk membeli rumah, “malah untuk tampung hidup ada yang terpaksa buat kerja sampingan pada waktu malam”.

“Jadi mereka tiada masa rehat dan tidak sempat luangkan masa dengan keluarga. Bila gaji tidak cukup begini, kalau ada peluang dan ruang maka gejala rasuah itu boleh berlaku,” katanya.

Beliau berkata, sewaktu menerajui kesatuan itu pada 2006, kerajaan sudah melakukan semakan skim gaji penjawat awam lima tahun sekali.

Katanya, rasuah boleh diibaratkan sebagai musuh nombor dua negara selepas dadah, sambil menambah kekerapan semakan skim gaji dan elaun mampu memberi motivasi kepada pegawai dan kakitangan kerajaan untuk melakukan tugas dengan penuh integriti.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan untuk memperbanyakkan lagi program yang berbentuk pembinaan jati diri bagi memperkasakan integriti penjawat awam.

Leave a Reply