Sungguh Cantik..Lukisan Watak Puteri Disney Diberi Sentuhan Busana Nusantara

Apabila disebut nama-nama seperti Snow White, Ariel, Cinderella, Anna, Elsa, Rapunzel, Moana, Pocahontas dan Mulan, pasti ramai yang dapat membayangkan kecantikan watak puteri dalam filem serta siri animasi Disney.

Setiap karakter mempunyai penampilan, personaliti dan kostum tersendiri termasuk bergaun kembang sehingga menjadi ikutan dan kegilaan terutama dalam kalangan kanak-kanak perempuan.

Namun, bagaimana pula jika ‘puteri-puteri barat’ ini digayakan dengan busana tradisional, tentu tampak lebih ayu dan menawan sesuai dengan ciri-ciri ketimuran.

Hal itu direalisasikan oleh pelukis tempatan, Farah Lina Mohamad Noor Daim, 35, apabila menghasilkan 17 lukisan watak puteri dalam animasi Disney dengan mengenakan busana mengikut negeri dan etnik di Malaysia selain Brunei serta Singapura.

“Sejak kecil, saya minat dengan watak puteri dalam animasi Disney.

“Saya juga gemar dengan pakaian tradisional Melayu kerana ia kaya dengan budaya dan ada kelasnya tersendiri.

“Jadi, saya gabungkan kedua-dua minat saya ini menjadi satu hasil seni,” katanya kepada Bernama.

Farah menghasilkan 17 lukisan watak puteri Disney mengenakan busana mengikut negeri dan etnik di Malaysia selain Brunei serta Singapura.

Farah menghasilkan 17 lukisan watak puteri Disney mengenakan busana mengikut negeri dan etnik di Malaysia selain Brunei serta Singapura.

Usaha lulusan Multimedia dari Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMUC) ini ternyata berbaloi apabila hasil kreativitinya itu mendapat perhatian orang ramai sehingga menjadi tular selepas berkongsi di laman Facebook rasminya, Art of FarahDaim sejak Selasa lepas.

Katanya, biarpun telah diberi ‘wajah baharu’, penting untuk orang ramai terus mengenali puteri Disney berikutan ia adalah titik penentu yang menjadi ukuran kejayaan kepada lukisannya itu.

“Saya mengambil masa dua bulan untuk membuat sketsa bagi mendapatkan gambaran yang tepat untuk setiap puteri dengan mencari persamaan antara puteri Disney dan busana tradisional bagi setiap negeri.

“Namun sentuhan Disney tetap dikekalkan, sebab itu gaya dan gaun setiap puteri adalah daripada busana Nusantara manakala warna dan coraknya pula daripada warna asal watak puteri dalam animasi Disney, macam mix and match,” katanya yang minat melukis sejak berumur 10 tahun.

Farah menghasilkan 17 lukisan watak puteri Disney mengenakan busana mengikut negeri dan etnik di Malaysia selain Brunei serta Singapura.

Farah menghasilkan 17 lukisan watak puteri Disney mengenakan busana mengikut negeri dan etnik di Malaysia selain Brunei serta Singapura.

Bagaimanapun jelasnya, setiap puteri yang dilukisnya itu bukanlah mewakili mana-mana negeri atau negara ini, namun tidak lebih seperti pelancong yang memakai pakaian tradisional.

Beliau juga berharap lukisan yang disiapkan dalam tempoh tiga bulan itu, dapat menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk terus menghasilkan karya dengan membawa tema budaya tempatan.

“Kita bertuah menjadi rakyat Malaysia yang berbilang budaya dan kaya dengan pelbagai sejarah serta cerita rakyat.

“Jadi, ambil peluang itu untuk pelajari dan terokainya,” katanya yang berhasrat menghasilkan lukisan watak putera dalam animasi Disney bertanjak suatu hari nanti.

Buat masa ini, anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini terlibat dalam program MDEC Motion Comic Contest yang bertajuk Kepang selain terbabit dalam menghasilkan majalah indie komik, Echozine di bawah kelab Kami Pelukis Komik serta membuat buku ilustrasi kanak-kanak, Let’s Play It Again.

— BERNAMA

[VIDEO] Baju Dibeli Dengan Duit, Bukan Dir Liur – Penganjur

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker