‘Kami makin tertekan’

GEORGE TOWN – Penjual tiket di Terminal Bas Ekspres Sungai Nibong di sini semakin dibelenggu tekanan apabila punca pendapatan harian mereka dikatakan berkurangan sehingga 90 peratus ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Kosmo! mendapati hanya dua daripada 14 buah kaunter tiket yang dibuka di situ.

Difahamkan, sebanyak 11 kaunter syarikat bas ternama terpaksa menamatkan operasi disebabkan tidak mampu me­langsaikan hutang sewa bulanan Majlis Bandaraya Pulau Pinang selain pendapatan terjejas.



Seorang penjual tiket, Azizul Rahmat, 41, berkata, dia kini tertekan mengenang nasib yang bakal dialami dan terpaksa bertahan bagi menyara kehidupan isteri dan empat cahaya mata.

Menurutnya, pendapatan hariannya hanya bergantung pada komisen daripada hasil penjualan tiket bas setiap sehari.

“Melihat keadaan ketika ini, hendak dapat komisen RM7 sehari pun payah. Kami perlu membahagikan hasil komisen RM5 bagi setiap satu tiket bas dengan beberapa pekerja lain.

“Bayangkan, jumlah penum­pang bas juga kurang daripada 10 orang setiap hari sejak PKP lalu dan untuk hari ini sahaja (semalam), tiket baru dijual kepada dua penumpang dari pukul 7 pagi hingga 1 petang,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.



Azizul memberitahu lagi, sebelum PKP tahun lalu, kira-kira 100 keping tiket bas dijual kepada pelanggan setiap hari dengan komisen yang diperoleh RM12.

“Kini saya mengharapkan wang bantuan kerajaan dan pe­n­geluaran i-Sinar bagi menampung keluarga, sewa rumah dan hutang bank,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penjual tiket, Roslaini Rosdi, 38, memberitahu, dia langsung tidak menerima sebarang pembayaran gaji disebabkan kaunter tiket ditutup sepanjang PKP sejak 13 Januari lalu.

“Saya hanya bergantung dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan dan duit nafkah bulanan anak bagi urusan persekolahan mereka.



“Saya merayu agar kerajaan membantu golongan penjual tiket bas yang turut sama terkesan akibat PKP termasuk memberi bantuan secara one off,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Promoter Tikes Bas di Terminal Bas Sungai Nibong, Azli Ahmad pula meminta kerjasama Kerajaan Pulau Pinang agar membantu golongan penjual tiket bas di negeri ini yang turut sama terkesan akibat pandemik itu.

“Daripada 60 penjual tiket bas yang ada sebelum ini, kini yang tinggal tidak sampai 20 orang. Majoriti mereka terpaksa membawa haluan masing-masing de­ngan bekerja sebagai penghantar makanan dan kurier.

“Masing-masing kami mempunyai keluarga. Pernah kami me­nerima komisen hanya RM1 sehari. Bagaimana kami hendak mencari makan untuk keluarga sekiranya keadaan ini berterusan,” tambahnya.



Feri Pulau Pinang hanya untuk basikal, motosikal mulai 1 Jan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker