Feri Pulau Pinang hanya untuk basikal, motosikal mulai 1 Jan

Perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang akan diteruskan tetapi hanya ditawarkan kepada penunggang motosikal dan basikal bermula 1 Januari ini, menurut Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng.

Tan berkata, perkhidmatan feri untuk kenderaan empat tayar tidak akan disediakan mulai tarikh sama selaras dengan kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong pada Khamis berhubung perkhidmatan tersebut.

“Operasi perkhidmatan feri bagi motosikal dan basikal adalah di antara Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth dan Pangkalan Raja Tun Uda di sebelah pulau.

“Bermula 1 Januari juga, perkhidmatan feri bagi penumpang iaitu pejalan kaki akan menggunakan feri (bot) laju menggunakan Pangkalan Sultan Abdul Halim dan Terminal Swettenham Pier Cruise di sebelah pulau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, penggunaan feri laju serta feri sedia ada itu adalah merupakan langkah interim sebelum feri baharu iaitu bas air (untuk penumpang) dan pengangkut kenderaan diperkenalkan pada 1 Julai 2022 atau lebih awal lagi.

Tan berkata, semasa tempoh interim, kedua-dua terminal Pangkalan Sultan Abdul Halim dan Pangkalan Raja Tun Uda akan diubah suai serta dinaik taraf bagi mengendalikan feri-feri baharu (bas air dan pengangkut kenderaan) demi untuk menyediakan perkhidmatan feri yang lebih cekap serta terminal lebih selesa kepada semua pengguna.

“SPPP memberi jaminan perkhidmatan feri tidak akan terputus walaupun terdapat kerja-kerja pengubahsuaian di kedua-dua terminal tersebut dan sepanjang tempoh interim, tambang feri sedia ada akan dikekalkan,” katanya.

Sementara itu, katanya, perkhidmatan bas perantara untuk membawa penumpang dari Terminal Swettenham Pier ke Pangkalan Tun Raja Uda akan disediakan secara percuma untuk kemudahan pejalan kaki yang menggunakan feri laju.

Beliau berkata, perkhidmatan bas perantara itu akan memudahkan penumpang feri meneruskan perjalanan mereka untuk menaiki bas atau teksi di Pangkalan Raja Tun Uda. Bernama

Kerajaan jamin khidmat feri Pulau Pinang diteruskan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker