Al-Sultan Abdullah zahir ucapan takziah pemergian Prebet Ujang Mormin

PORT DICKSON – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Prebet Ujang Mormin yang meninggal dunia petang semalam.

Baginda turut mengutuskan surat takziah dan ampun kurnia bantuan kepada waris veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tersebut.



Perkara tersebut dimaklumkan oleh Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd. Zain dalam sidang akhbar selepas Majlis Pengebumian Allahyarham Ujang Mormin di Pusara Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dekat sini hari ini.

Tambah beliau, turut menzahirkan ucapan takziah adalah Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah selaku Kolonel Yang Dipertua RAMD.



Katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob termasuk warga Kementerian Pertahanan, ATM dan Tentera Darat turut merakamkan ucapan takziah.

Ujang Mormin, 100, meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan Covid-19 di Hospital Sungai Buloh, Selangor, selepas dijangkiti virus tersebut hasil saringan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.

Allahyarham kemudian dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada 26 Januari lalu ekoran faktor usia serta keadaan kesihatan buah pinggangnya.

Berasal dari Kampung Kundur, Rembau, Ujang adalah rakan seperjuangan Allahyarham Leftenan Adnan Saidi dan pernah bersama-sama bertempur dengan pahlawan negara itu di Pasir Panjang ketika tentera Jepun menyusup ke Singapura pada Perang Dunia Kedua.



Sementara itu, menurut Zamrose, pihaknya akan berusaha untuk memastikan agar Allahyarham Prebet Ujang tidak akan dilupakan apatah lagi hilang dari lipatan sejarah ketenteraan sebagai seorang pejuang tanah air dan veteran perang. – K! ONLINE

Veteran ATM berusia 100 tahun meninggal dunia akibat Covid-19



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker