Menteri atau orang biasa, Covid-19 sapu semua – Pakar

Gambar Hiasan***

Virus Covid-19 tidak tahu membezakan antara menteri atau rakyat Malaysia biasa, kata seorang pakar kesihatan hari ini.

Dia mengulas arahan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba yang melonggarkan peraturan kuarantin bagi anggota kabinet yang pulang daripada lawatan rasmi di luar negara.

Doktor veteran, Dr Milton Lum Siew Wah, berkata turut amat mengecewakan ialah betapa Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah seperti gagal bersuara untuk menolak arahan Adham.

“Nampaknya Noor Hisham tidak tegas dan ini sangat mengecewakan.

“Kita mungkin tidak tahu jika dia (Noor Hisham) memang bertegas tetapi tidak diendahkan, namun nampaknya dia tidak begitu,” kata Lum kepada Malaysiakini.

Pada 13 Dis lalu, Noor Hisham mengatakan keputusan untuk memendekkan tempoh kuarantin wajib Covid-19 dari 14 hari kepada 10 hari dibuat berdasarkan tinjauan data klinikal global.

Noor Hisham pada masa itu mengatakan data klinikal menunjukkan kecenderungan negara mengurangkan hari kuarantin mandatori mereka serta kadar infektif Covid-19 yang tinggi dalam tujuh hari pertama akan menurun dari masa ke masa.

Lum bagaimanapun berkata harus ada peraturan sama untuk semua kerana virus itu tidak dapat membezakan antara menteri atau golongan sebaliknya.

“Sekiranya menteri menganggap mereka dapat melepaskan diri daripada Covid-19 dengan kuarantin tiga hari, mereka tersilap.

“Peraturan (terbaru) ini membahayakan menteri. Ia juga membahayakan orang yang berinteraksi dengan menteri itu, dan lebih buruk lagi ia memberi mesej yang sangat negatif kepada masyarakat,” katanya ketika dihubungi.

Ditandatangani menteri kesihatan

Lum, yang aktif menulis mengenai isu-isu Covid-19 berkata arahan itu juga dapat membawa kelompongan undang-undang dalam menegakkan peraturan kuarantin selama 10 hari.

Dengan contoh yang diberikan oleh menteri, Lum berkata seorang rakyat biasa dapat menggunakan hujah yang sama jika pernah didakwa di mahkamah kerana melanggar kuarantin.

“Sekiranya anda mendakwa seseorang kerana tidak mematuhi arahan kuarantin selama 10 hari, peguam mereka mungkin mencelah dan berkata: ‘pelanggan saya melakukan kuarantin tiga hari, kan?’

“Bagaimana pihak pendakwaan mahu mengambil tindakan lanjut?” katanya.

Untuk rekod, peraturan Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 diterbitkan dalam warta persekutuan semalam.

Ia ditandatangani oleh Adham dan akan berkuat kuasa hari ini.

Perintah itu menyatakan: “Menteri (Adham) mengecualikan menteri kabinet yang kembali dari lawatan rasmi ke luar negeri dari penerapan Seksyen 15 Akta”, merujuk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Dengan arahan itu, menteri yang kembali dari perjalanan rasmi ke luar negeri sebaliknya akan menjalani “pemerhatian selama tiga hari atau menjalani pengawasan hingga diberhentikan tanpa bahaya kepada orang ramai”.

Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein kini dalam perjalanan rasmi ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, sementara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah kembali dari Jakarta tiga hari yang lalu.

Leave a Reply