Pemuda Umno desak KWSP mansuhkan kriteria pengeluaran i Sinar
Pemuda Umno mendesak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempermudahkan urusan pengeluaran i Sinar dengan memansuhkan segala kriteria khususnya untuk kategori 2.
Ketua Pemudanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata orang ramai kecewa dengan masalah teknikal yang dialami KWSP.
“Justeru, dengan apa yang berlaku kelmarin dan hari ini khususnya ‘masalah teknikal’ sistem KWSP yang mengecewakan ramai pemohon yang rasa dipermainkan.
“Pemuda Umno sekali lagi mendesak dan merayu agar KWSP mempermudahkan pengeluaran i-Sinar terutamanya kategori 2 dengan memansuhkan segala syarat dan kriteria bagi membolehkan rakyat mengeluarkan wang simpanan mereka dengan segera,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, petang ini.
Terdahulu, KWSP dalam kenyataan di laman Instagram dan Facebook tengah malam tadi memaklumkan pihaknya menghadapi masalah teknikal bagi paparan status permohonan kemudahan i-Sinar.
Kenyataan itu menyusul beberapa jam selepas kebanyakan permohonan i-Sinar kategori 2 dilaporkan telah lulus selepas membuat semakan bermula semalam.
“KWSP ingin memohon maaf atas kesulitan kerana terdapat masalah teknikal pada paparan status I-Sinar online.
“Anda disarankan untuk menyemak semula status anda bermula 8 pagi pada 8 Februari 2021,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu Asyraf berkata pihaknya sejak dari awal lagi telah berusaha untuk meyakinkan kerajaan dan KWSP agar mempermudahkan urusan rakyat yang ingin mengeluarkan wang simpanan mereka di KWSP.
“Bagi Pemuda Umno, saat-saat sukar dalam senario luar biasa tatkala pandemik Covid-19 yang melanda, perlunya pendekatan yang juga luar biasa untuk menyantuni hasrat dan harapan rakyat yang sememangnya susah dan gelisah memikirkan kelangsungan hidup mereka ketika ini,” katanya lagi. Mk
Tiada perubahan kriteria semasa i-Sinar buat masa ini – KWSP