KWSP mampu umum dividen 2020 setinggi 5.5 peratus
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan mengumumkan dividen yang paling rendah dalam sejarah penubuhannya sedangkan institusi tersebut dijangka mencatat keuntungan pelaburan yang baik pada tahun 2020.
Malah KWSP juga dilihat tidak berdepan dengan masalah untuk membayar dividen sekurangnya-kurangnya 4.5 peratus atau mungkin mampu untuk mengumumkan dividen sehingga 5.5 peratus pada tahun berkenaan.
Pakar Ekonomi daripada Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, berdasarkan kepada pengiraan dividen pada tahun 2019, KWSP memerlukan sekitar RM8.5 bilion untuk membayar setiap satu peratus dividen.
Bagi tahun 2019, kadar dividen yang diumumkan adalah 5.45 peratus
Menurut beliau, bagi pengiraan kadar dividen untuk tahun 2020 pula, institusi tersebut dianggarkan memerlukan lebih daripada RM9 bilion untuk membayar setiap satu peratus dividen disebabkan pertambahan dana KWSP setiap tahun.
“Kalau kita tengok prestasi sembilan bulan pertama tahun lalu, KWSP telah mencatatkan keuntungan pelaburan sebanyak RM37.83 bilion.
“Oleh itu, untuk memberikan kadar dividen pada anggaran lima peratus bagi tahun 2020, KWSP perlu mendapatkan RM9 bilion keuntungan pelaburan pada suku tahun keempat 2020,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, dividen paling rendah yang diisytiharkan KWSP sebelum ini adalah 4.25 peratus pada tahun 2002 iaitu 18 tahun yang lalu dan KWSP juga pernah memberikan dividen 4.5 peratus pada 2008.
Penurunan kadar dividen 4.5 peratus pada tahun 2008 adalah kerana peningkatan peruntukan rosot nilai pelaburan kesan daripada penurunan mendadak harga pasaran ekuiti global ekoran krisis kewangan dunia.
“Sudah tentu KWSP tidak mahu memberi kadar dividen paling rendah dalam sejarahnya, oleh itu, saya yakin kadar dividen bagi 2020 paling minimum adalah 4.5 peratus atau lebih tinggi lagi,” jelasnya.
Ahmed Razman menerangkan, pemberian dividen KWSP bagi tahun 2020 dilihat mampu mengatasi kadar agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Kadar agihan pendapatan ASB bagi tahun berkenan iaitu hanya 4.25 peratus tahun lalu adalah kadar terendah sejak penubuhannya pada tahun 1990.
Tambah beliau, pembayaran yang lebih tinggi daripada kadar agihan pendapatan ASB itu bukan mustahil untuk dicapai meskipun operasi KWSP sedikit sebanyak terjejas ekoran pengeluaran khas simpanan pencarum bagi menghadapi cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19.
Ahmed Razman berkata, KWSP telah meluluskan pengeluaran berjumlah RM34 bilion bagi tujuan tersebut, RM14.41 bilion daripadanya menerusi inisiatif i-Lestari manakala RM19.62 bilion lagi melalui inisiatif i-Sinar.
Jumlah berkenaan tidak termasuk i-Sinar di bawah Kategori 2 yang masih dalam proses permohonan, manakala isu pengangguran yang meningkat sehingga kepada paras 5.3 peratus pada Mei lalu turut menjejaskan caruman yang diterima KWSP.
“Namun KWSP telah membuat persediaan untuk pengeluaran wang ini sejak Mac tahun lepas dengan meningkatkan pegangannya dalam instrumen pasaran mata wang yang lebih cair, meskipun kebiasaannya ia memberikan pulangan pelaburan yang lebih rendah.
“Menuju ke hadapan, saya berpandangan dengan pemulihan ekonomi domestik kembali positif tahun ini, KWSP mampu mengekalkan paras dividen yang baik untuk tahun-tahun seterusnya,” katanya. K Online