Apa khabar RUU355, sindir Saifuddin


Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan mengapa tiada desakan daripada ahli parlimen PAS berhubung pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang dikenali sebagai RUU355.

Jelasnya, meskipun sudah setahun menjadi kerajaan, masih tiada kertas kabinet dibentangkan berhubung pelaksanaan pindaan akta tersebut.

“Setahun sudah menjadi kerajaan. Tiada kertas kabinet untuk melaksanakan RUU355 dibentangkan oleh menteri agama atau menteri undang-undang. Tiada dibentang dalam kabinet bermaksud tiada juga dibentang dalam Parlimen.

“Tiada desakan sekelumit pun di Parlimen oleh 18 ahli-ahli parlimen parti Islam termasuk Marang (Abdul Hadi Awang),” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook hari ini.

RUU355 dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 oleh Presiden PAS Abdul Hadi, sebagai RUU persendirian.

Perbahasan mengenainya ditangguhkan dan versi yang disemak semula dibentang pada November 2016 dan April 2017.

Setakat ini, RUU355 tersebut hanya baru di peringkat mengemukakan usul tanpa perbahasan.

Bagaimanapun, pada 26 Nov tahun lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata RUU tersebut akan dibincangkan di peringkat negeri pada awal tahun ini.

Sementara itu, Saifuddin yang juga anggota parlimen Kulim Bandar Baharu secara sinis menyatakan majoriti ahli kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini adalah Melayu Islam

“Hari ini sebuah kerajaan Melayu Islam terbentuk(abaikan walaupun jalan khianat). menteri agama (adalah) bekas mufti, menteri undang-undang pula dari parti Islam.

“Majoriti ahli kabinet Melayu Islam .. tolak We Ka Siong, Saravanan, Ronald Kiandee. Peguam negara bukan lagi Tommy Thomas tetapi Idris Harun iaitu seorang Muslim.

“Kuasa politik di tangan kerajaan Melayu Islam,” sindirnya lagi. Mk

Pemuda PAS harap RUU355 dibentang pada sidang akan datang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker