‘Lanjutan PKP akan bunuh lebih banyak perniagaan’
Gabungan lebih 40 persatuan perniagaan dan profesional menyuarakan kekesalan dengan keputusan kerajaan melanjutkan perintah kawalan pergerakan (PKP) selama dua minggu lagi.
Dalam satu kenyataan bersama ini, gabungan bernama Industries Unite itu berkata, PKP kali kedua akan “membunuh” perniagaan dan menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan.
Justeru, penyelarasnya Irwin Cheong dan penasihat undang-undang David Gurupatham menggesa kerajaan menarik semula perintah itu.
“Sementara keselamatan dan kesihatan awam amat penting, kita menjangka ‘kadar kematian’ perniagaan akan terus meningkat pada masa ini.
“Kadar pengangguran juga akan meningkat. Ia pastinya akan terus menjejaskan ekonomi dan rantaian bekalan penting.
“Ribuan kedai telah tutup sejak PKP 2.0. Dengan lanjutan ini, kebanyakan anggota kami mungkin tak dapat memulihkan semula perniagaan.
“Sebarang kemungkinan untuk pulih pula dihalang dengan kurangnya langkah ke hadapan yang jelas,” kata gabungan itu, sambil menegaskan lanjutan PKP setiap dua minggu mendatangkan lebih banyak keburukan, berbanding kebaikan, kepada perniagaan.
Gabungan itu antaranya dianggotai Persatuan PKS Malaysia, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Yayasan Usahawan Malaysia, Akademi Usahawan Mikro (AUM), Asian Oceania Computing Industry Association (Asocio), Persatuan Spa Malaysia (Amspa) dan Persatuan Penjenamaan Malaysia (BAM).
UMNO Minta Bank Bantu Rakyat Terkesan Akibat COVID-19
Ia turut dianggotai Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM), Yayasan Usahawan Malaysia, Majlis Pereka Fesyen Asia (Malaysia) dan Dewan Perniagaan Digital Malaysia.
Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKP 2.0, yang dijadual tamat 4 Feb, akan dilanjutkan sehingga 18 Feb dengan SOP yang lebih ketat.
Penguatkuasaan itu adalah di seluruh negara kecuali Sarawak.
Menurut Industries Unite lagi, peniaga perlu membuat perancangan, keputusan penting berkenaan kakitangan, menguruskan aliran tunai dan pelbagai lagi.
“(Bagaimanapun) Pada masa ini keyakinan dalam komuniti perniagaan sangat kurang. Industri perlukan bantuan daripada kerajaan (seperti) moratorium komitmen kewangan, subsidi gaji dan banyak lagi.
“Isu-isu ini belum dijelaskan untuk PKP kali ini,” katanya, sambil membayangkan isu utama yang perlu dikendalikan adalah pelan pemulihan berstruktur dengan penekanan terhada pematuhan SOP menerusi pendidikan, libat urus komuniti dan galakan.
Gabungan itu juga menggesa kerajaan bekerjasama dengan komuniti perniagaan dalam merangka pelan segera bagi membolehkan perniagaan dapat diteruskan.
Antaranya mereka mencadangkan pelan penstabilan untuk tempoh enam hingga 12 bulan yang disusuli dengan pelan pemulihan untuk tempoh tiga tahun.
“Kami sangat menggesa kerajaan untuk menarik balik PKP. Orang mungkin akan selamat daripada virus tetapi boleh mati akibat kemiskinan,” kata gabungan itu.
Najib bertanya adakah golongan M40 dan PKS sudah dapat lanjutan moratorium?
You must be logged in to post a comment.