Tiada halangan untuk Ebit Liew anjur misi bantuan – Pesuruhjaya Polis Sabah

KOTA KINABALU: Polis tidak menghalang sebarang penganjuran aktiviti kebajikan anjuran sukarelawan termasuk misi bantuan yang dilakukan pendakwah bebas, Ebit Lew.

Bagaimanapun, kesemua sukarelawan itu digalakkan untuk merujuk dengan pihak berkuasa seperti polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terlebih dahulu atas faktor keselamatan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali merujuk kepada kenyataan dikeluarkan Ebit Liew mendakwa dihalang daripada menjalankan misi bantuan di pantai timur Sabah.

“Polis atau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) tidak pernah menghalang atau mengeluarkan sebarang arahan untuk menghentikan program Ustas Ebit Lew di kawasan itu.

“Kita tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau tindakan untuk menghalang program yang dianjurkan oleh pihak sukarelawan seperti Ustaz Ebit Lew.

“Bagaimanapun, mereka digalakkan untuk merujuk dengan pihak berkuasa seperti polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terlebih dahulu atas faktor keselamatan semata-mata,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Hazani, polis mengalu-alukan kerjasama mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan program amal kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Ada juga kenyataan yang ditularkan di media sosial mengaitkan Perintah Berkurung dikuatkuasakan meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Perintah berkenaan dikeluarkan adalah bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

“Ia tidak kena-mengena dengan program yang dianjurkan sukarelawan atau pihak NGO di mana-mana kawasan di negeri ini.

“Cuma kita minta beliau rujuk dengan pihak berwajib adalah bagi mengenal pasti status pulau dan penduduk terbabit,” katanya.

Terdahulu, Ebit dalam hantaran di Facebooknya mendakwa, beliau terpaksa menghentikan misi bantuan kerana tidak dibenarkan melawat ke pulau-pulau sekitar Semporna.

Beliau yang terkenal dengan sifat dermawannya mendakwa boleh dikenakan hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun jika niat berkenaan diteruskan.

View this post on Instagram

A post shared by Ebit Lew (@ebitlew)

[VIDEO]”Ramai Tanya Saya, Siapa Tuhan..”- Ustaz Ebit Lew Terharu, 1 Kampung Serentak Ucap Syahadah Depannya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker