Selangor FC lancar jersi ‘home’ berkonsep retro, inspirasi daripada SuperMokh

Selangor FC hari ini melancarkan jersi ‘home’ bagi musim 2021 yang diinspirasikan daripada ikon bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari atau lebih dikenali sebagai SuperMokh.

Selangor FC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, jersi yang menerapkan elemen ‘Legasi Mokhtar Dahari’ itu diilhamkan daripada rekaan jersi yang disarung oleh The Red Giants hanya untuk sekali ketika menjulang kejuaraan Piala Malaysia ke-27 pada tahun 1986, iaitu ketika Allahyarham sebagai tonggak utama pasukan.

“Jersi ‘home’ 2021 ini masih mengekalkan beberapa elemen penting pada tahun 1986 antaranya warna merah, kuning dan hijau diambil daripada bendera Raja Muda Selangor sebagai penghormatan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ketika itu merupakan Raja Muda Selangor serta penyokong nombor satu pasukan.

“Selain itu, kedudukan lambang Selangor FC juga diletakkan pada bahagian kanan dada seperti jersi asal bagi mengetengahkan elemen retro jersi ‘home’ musim ini,” menurut kenyataan itu.

Selangor FC menyatakan lambang istimewa ‘SuperMokh’ turut diabadikan di belakang jersi ‘home’ musim ini sebagai tanda penghargaan kepada Allahyarham.

Menurut pasukan itu, walaupun tema dan konsep jersi ‘home’ itu juga berlandaskan unsur retro, terdapat beberapa elemen moden yang digarap supaya ia bersesuaian dengan rekaan kontemporari.

“Perbezaan terbesar antara jersi musim ini dengan yang asal ialah hiasan motif kelopak bunga di bahagian warna kuning jersi, melambangkan bunga rasmi negeri Selangor iaitu bunga tanjung,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, jersi edisi musim ini juga mempunyai bendera quarterfly merah kuning pada dada dan riben bertulisan ’85 Years Creating A Legacy’ yang disematkan pada bahagian belakang kolar, sempena sambutan 85 tahun penubuhan pasukan Selangor FC.

“Pihak pengurusan Selangor FC juga telah memutuskan untuk membuat kelainan tahun ini dengan memilih warna kuning sebagai warna utama jersi ‘home’ setelah sekian lama tidak digunakan.

“Selangor FC berharap jersi ‘home’ musim 2021 yang bertemakan legasi Allahyarham Mokhtar Dahari dan pasukan Selangor 1986 itu dapat membawa aura kejuaraan serta meniup semangat perjuangan kepada semua pihak berkepentingan pasukan dalam misi memburu kejayaan tahun ini,” menurut kenyataan tersebut.

Jersi retro yang simbolik dan penuh bersejarah itu kini boleh dibeli melalui SelangorFC.com dengan harga RM109 untuk edisi pemain manakala edisi penyokong hanya akan dikeluarkan selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

Penyokong Selangor yang berdaftar sebagai pemegang Red Giants Team Card 2021 pula akan menerima diskaun sebanyak 10 peratus untuk setiap pembelian jersi pada tahun ini.

— BERNAMA

Leave a Reply