[VIDEO] Arwah Zubaidi Amir Qusyairi (Adik) Selamat Dikebumikan Di Melaka

JASIN – Jenazah kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya pada Jumaat lalu selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, tadi.

Majlis pengebumian yang berlangsung kira-kira 35 minit itu selesai pada pukul 12.45 tengah hari dengan dihadiri keluarga kandung serta keluarga angkat Allahyarham.

Terdahulu, jenazah mangsa telah dituntut pagi tadi oleh waris keluarga ibu kandung di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka sebelum dimandikan serta disembahyangkan di Madrasah As-Syakirin, di sini.

Ibu angkat mangsa, Norlida Abu Hassan, 50, ketika ditemui selepas selesai majlis pengebumian itu berkata, dia reda dengan ketetapan Ilahi selepas tidak dapat membawa pulang jenazah anak angkatnya itu, yang mesra dengan panggilan ‘Adik’ untuk disemadikan di Rawang, Selangor.

“Walaupun Umi sedih tidak dapat bawa Adik pulang ke rumah kami di Rawang, namun Umi bersyukur semuanya (pengebumian) selesai.

“Umi akan datang melawat Adik dan malam tadi pun abang ngah sampai termimpikan Adik” katanya penuh sebak.

Malam tadi Kosmo! Online turut melaporkan hasil awal proses bedah siasat mayat kanak-kanak itu yang hampir 11 jam bermula pukul 9 pagi semalam mengesahkan terdapat kesan luka lama dan baharu di seluruh anggota badan mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, kecederaan itu termasuk luka baru sebenar tiga sentimeter di bahagian belakang kepala.

“Kita masih menunggu laporan penuh untuk mengetahui sama ada mangsa memperoleh kecederaan itu disebabkan dia terjatuh atau perlakuan mana-mana individu (didera),” katanya.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan kanak-kanak malang itu didakwa telah mati lemas di dalam tong air oleh ayah tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, namun siasatan mendapati terdapat kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Kedua-dua ibu kandung serta bapa tiri masing-masing berusia 32 dan 38 tahun kemudian ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – K! ONLINE

[VIDEO] “Syurga Tempatmu Dik.” -Pemergian Arwah Adik Amir Ditangisi Sebahagian Besar Rakyat Malaysia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker