Rakyat diharap terus istiqamah dan berdisiplin patuhi SOP – Agong
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan supaya rakyat terus beristiqamah dalam kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam keadaan negara kritikal menghadapi pandemik COVID-19.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Al-Sultan Abdullah juga menasihati rakyat supaya terus bertenang, tabah dan cekal menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pelaksanaan Proklamasi Darurat demi kepentingan dan keselamatan diri bersama serta negara.
“Sememangnya, dengan pelaksanaan PKP, Seri Paduka Baginda amat memahami cabaran yang dihadapi, khususnya aktiviti ekonomi harian rakyat yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan kepada media bersempena Hari Wilayah esok.
Pada masa yang sama Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat, khususnya petugas barisan hadapan, yang telah menunjukkan semangat solidariti, kesepaduan dan daya ketahanan yang tinggi dalam menghadapi serta memerangi penularan wabak COVID-19.
Pandemik COVID-19 memberikan satu pengajaran yang amat bermakna kepada rakyat Malaysia dan Seri Paduka Baginda menzahirkan kesyukuran kerana semua pihak mampu menangani dan memerangi krisis ini kerana sikap prihatin, katanya. – BERNAMA
You must be logged in to post a comment.