Peningkatan Kes Membimbangkan: Dasar kerajaan tiada hala tuju, buat rakyat semakin takut
DASAR kerajaan dalam menangani masalah pandemik Koronavirus (Covid-19) dilihat seperti tiada hala tuju menyebabkan rakyat semakin hilang keyakinan dan takut.
Hal demikian dilihat terang-terangan apabila kerajaan seperti tidak bersungguh melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dalam masa sama pelbagai sektor masih beroperasi.
Namun, kes baharu semakin meningkat, malah semalam buat pertama kali, negara mencatatkan kenaikan mendadak hampir dua 2,000 kes baharu.
Di tambah pula, cadangan untuk tidak melanjutkan PKP dan digantikan dengan PKP Bersyarat (PKPB) ketika ini yang dalam masa sama juga disertakan dengan Perintah Darurat.
Hal ini semua akhirnya menimbulkan rasa takut dalam kalangan rakyat dan mereka mula mempersoalkan ‘apa hendak jadi dengan negara kita?’
“Kita tengok kerajaan yang ada ini seolah-olah macam hilang arah tujunya. Seperti sudah tiada pedoman.
“Kerajaan buat PKP dari awal iaitu PKP1.0 bermula pada 18 Mac 2020 kemudian laksana PKPB, PKPP kemudian PKP balik hari ini.
“Tetapi dalam masa yang sama disertakan juga dengan darurat.
“Saya pun tak tahu, apakah tujuan sebanarnya darurat kita tidak tahu. Sebab semuanya (sektor ekonomi) berjalan seperti biasa.
“Darurat ini hanya satu jalan untuk menghentikan pilihan untuk pendekatan demokrasi seperti sidang Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri).
“Sedangkan masalah seperti ini memerlukan penyelesaian secara sejagat iaitu bipartisan maksudnya melangkau parti bukan lagi soal BN, PH, PN… bukan.
“Ini soal keselamatan kita semua, sebab itu kita perlukan Parlimen bersidang.
‘Ini bukan soal membantah darurat, tetapi apakah alasan untuk melaksanakan darurat itu? Kita sudah cukup dengan PKP.”
Demikian kata Pensyarah Kanan Sejarah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Sahul Hamid Mohamed Maiddin, ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.
Tambahnya, beliau sendiri mengakui tidak nampak ke mana arahnya PKP dan darurat yang dilaksanakan serentak, namun dalam masa sama menyatakan rakyat tiada daya upaya hendak menyuarakannya.
Hal demikian ditambah pula dengan sikap ‘double standard’ dalam melaksanakan undang-undang negara yang jelas dapat dilihat masalah itu datang daripada menteri sendiri.
“Akhirnya, sampailah semalam kes baharu Covid-19 mencecah 5,725 orang. Kenaikan mendadak berbanding 3,800 pada dua hari lepas.
“Rakyat paling bawah ini sudah mula rasa kesannya dan melihat angka (jangkitan) semakin meningkat.
“Dahulu adalah satu parti yang sebut pentadbir yang memerintah tidak berkat, tidak ada rahmat Allah.
“Akhirnya apabila mereka sendiri menjadi pemerintah saya tertanya-tanya juga mana rahmat Allah yang mereka canang.
“Satu lagi, apabila undang-undang tidak dilaksanakan secara adil antara pemimpin atasan dengan rakyat, macam mana rahmat Allah hendak sampai?
“Mereka akan cari seribu alasan untuk mendenda rakyat, tetapi untuk melepaskan pak-pak menteri, kroni, mereka cuma buat tak tahu sahaja.
“Kemudian pemimpin atasan terang-terang melanggar praturan SOP (prosedur operasi standard) dan masuk dalam Facebook. Kita hendak percaya pada siapa sekarang ini?
“Apa lagi daya yang kita ada sekarang? Memang tak ada.
“Saya ada bagitahu dekat kawan-kawan yang agamawan, buatlah Qunut Nazilah, mintalah buat seruan besar-besaran,” luahnya. – SM