Parti Pejuang ‘Atok’ tiada hala tuju – Shamsul Anuar

Tidak seperti Umno, seorang ahli majlis tertinggi parti itu mendakwa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diumumkan oleh bekas pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai ideologi dan hala tuju.

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah parti Pejuang sangat berbeza dengan Barisan Nasional (BN).

“Malam tadi Atok (Dr Mahathir) dah umum parti Pejuang. Tapi, tak daftar lagi. Kita berbeza dengan parti Atok.

“Dia boleh sebutlah bahawa dia berjuang untuk membanteras rasuah. Dia ingat rakyat tak cerdik kah?

” Dia tak tahu kah? Sebenarnya parti dia juga dikelilingi orang yang rasuah. Dia yang cakap (nak memerangi rasuah) tapi dia tak tengok dan cerminkan diri sendiri,” dakwa Shamsul pada satu majlis pertemuan dengan penduduk di Kuala Slim, Slim River, menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim, malam tadi.

Turut hadir, Mohd Zaidi Aziz sebagai calon BN bagi PRK DUN Slim.

Terdahulu, pada Rabu Dr Mahathir membuat pengumuman nama parti baru pada majlis memperkenalkan calon parti tersebut.

Dalam majlis itu, Dr Mahathir mengumumkan peguam syarie, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon bagi PRK DUN Slim.

Bagaimanapun, memandangkan Pejuang masih belum berdaftar secara rasmi dengan ROS maka Amir akan bertanding sebagai calon bebas.

Berucap di hadapan lebih 500 hadirin, Dr Mahathir berkata kerajaan hari ini bukan lagi berkhidmat untuk bangsa, negara agama tetapi untuk ‘apa aku dapat’.

BN bela semua kaum

Bagaimanapun, Shamsul berkata bahawa BN mempunyai ideologi dan sebuah parti yang ada hala tuju serta parti yang ada matlamat perjuangan.

Tambahnya, BN sentiasa menyesuaikan perjuangan partinya mengikut zaman dengan membela semua kaum di Malaysia.

Sementara itu, Shamsul yang juga ahli parlimen Lenggong meminta pengundi Slim supaya menolak calon parti Pejuang kerana partinya bukan sebahagian daripada kerajaan.

“Parti dia bukan sahaja dalam kerajaan, daftar pun belum.

“Saya dengar yang bertanding ini bukan orang tempatan pun. Bab ini sahaja pun kita tolak calon Pejuang.

“Kita nak wakil daripada kawasan ini, calon parti Pejuang ini bukan dari orang ini,” katanya.

Amir Khusyairi, 38 ialah graduan undang-undang UIAM merupakan anak bongsu daripada lima adik beradik, ayahnya, allahyarham Mohamad Tanusi Maulut ialah bekas naib kadi Teluk Intan, manakala ibunya seorang pesara guru agama.

Isteri Amir, Dr Nur Aainaa Othman pula ialah doktor pakar radiologi di Hospital Teluk Intan dan doktor pakar jemputan di hospital Slim River.

Bagaimanapun, Umno dilihat mula melancarkan serangan terhadap Amir dengan mendakwa bahawa beliau bukan anak tempatan dan berasal dari Teluk Intan.

Sementara itu, Shamsul berkata bahawa penyokong BN di DUN Slim tidak boleh rasa selesa dengan ramalan BN akan menang dalam PRK itu.

“Walaupun dari bacaan kita, atas kertas kita boleh mencapai kemenangan, tapi dalam politik ini apa pun boleh berlaku.

“Perubahan akan berlaku sentiasa. Sebab itu jentera parti kita kena kerja bersungguh-sungguh.

“Kita jangan selesa. Jangan rasa kita boleh menang mudah di sini,” katanya.

Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN, mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PH dengan lambang PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.

Pengundian PRK Slim akan diadakan pada 29 Ogos, dengan hari penamaan calon pada 15 Ogos. Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker