Omar Sy Pencuri Fenomena dalam LUPIN
IDEA penghasilan siri berjudul Lupin tercetus apabila pembikinnya mendekati pelakon, Omar Sy dan melayangkan soalan: “Watak apa yang ingin anda lakonkan selepas ini?”.
Lelaki kelahiran Trappes, France itu dengan pantas menjawab: “Arsene Lupin.”
Nyatanya, tiada sekelonet pun rasa kesal atas pembikinan naskhah berkenaan apabila melihat sebuah kejayaan besar yang tercetus hanya dengan satu perbualan rawak.
Pasukan yang terlibat menjayakan Lupin kini boleh tersenyum lebar apabila karya berkenaan meledak ke tangga ketiga sebagai filem paling laris dalam sejarah Netflix dengan tontonan lebih 70 juta selepas 28 hari disiarkan.
Pencapaian sebegitu sudah cukup membanggakan biarpun mereka terpaksa akur dengan keghairahan ramai terhadap The Queen’s Gambit dan Brigerton.
Jadi, apa yang membuatkan siri berkenaan begitu cemerlang merasuk penonton?
Selain aspek teknikal termasuk sinematografi, efek bunyi dan pengarahan yang memberi tanda aras baharu, satu perkara yang tidak boleh disangkal adalah dampak positif luar biasa yang dimainkan oleh Omar.
Dia seorang pelakon yang boleh disifatkan sangat bijak menyelami selok-belok dan permainan watak utama, Assane Diop.
Lupin versi moden
Assane, sebuah karakter yang diterjemahkan cukup rencah kualiti dan emosi.
Dari mana datangnya semangat atau fenomena yang dicetuskan Omar melalui permainan watak Lupin?
Jika dicongak secara mudah, watak itu bukanlah Arsena Lupin sebagaimana tertulis dalam buku. Namun terdapat satu karakter yang menjadikan Lupin sebagai rujukan dan idola Diop membalas dendam kematian bapanya 25 tahun lalu.
“Saya sudah lama tidak dapat karakter seperti ini. Saya melihat karakter ini sebagai sesuatu yang sentiasa bergerak, sentiasa satu langkah lebih maju berbanding yang lain dan satu karakter yang tidak boleh dihalang atau dihentikan.
“Semua kualiti itu dan seorang ‘Gentleman Burglar’ semestinya,” kata lelaki kulit hitam itu penuh karisma.
Lupin diadaptasi daripada sebuah buku yang diberi judul Arsène Lupin, Gentleman Burglar dan merupakan koleksi pertama yang ditulis oleh Maurice Leblanc.
Lupin merupakan satu karakter ikonik dan heroik yang cukup popular buat orang Perancis. Jika Hollywood ada Sherlock Holmes dan James Bond, Perancis ada Lupin.
Menurut pengarah siri berkenaan, Louis Leterrier, Arsène Lupin merupakan satu mahakarya yang disukai semua orang.
“Arsène Lupin merupakan hero yang terkenal di Perancis. Anda boleh baca tentang Lupin di sekolah macam mana anda baca tentang Victor Hugo di negara tersebut.
“Arsène Lupin adalah sebuah koleksi buku. Ia sesuatu yang semua orang suka. Sejenis Gentleman Burglar yang sangat berkarisma. Dia curi berlian, dia rompak galeri. Dia macam seminit ada di satu tempat kemudian hilang dalam sekelip mata,” ujar Leterrier.
Bersama Mona Lisa
Banyak lokasi menarik yang dijadikan lokasi penggambaran siri berkenaan. Antara yang menjadi sebutan ramai semestinya, muzium ikonik, Louvre di Paris.
“Ada satu masa, duit berterbangan dari atas dan saya semacam baru tersedar yang sebenarnya, saya berada di dalam Louvre. Saya betul-betul berada dalam satu bilik dengan lukisan Mona Lisa.
“Kita buat betul-betul. Satu perkara yang amat kontemporari. Kami mahu tunjukkan apa atau bagaimana Paris sebenarnya, monumen dan kawasan-kawasan pinggir bandar.
“Kami mahu apa yang ditonjolkan tidak nampak macam dalam poskad,” ujar bersemangat dalam satu wawancara.
Diberi kepercayaan memegang peranan utama dalam Lupin, Omar bangga dengan karakter tersebut.
Katanya, Lupin adalah karakter ideal untuk seseorang pelakon.
“Anda boleh buat apa-apa sahaja dengan watak Lupin: Dramatik, kelakar, pemurah, baik hati. Dia juga bijak. Banyak juga aksi dalam siri ini,” ungkap Omar yang sebelum ini pernah membintangi filem seperti X-Men: Days of Future Past, Jurassic World dan Transformers: The Last Knight.
Seorang penerbit siri berkenaan, Isabelle Degeorges, memuji komitmen pasukan Lupin, termasuk si pengarah yang tinggi nilai komitmen untuk duduk di kerusi penting, sekali gus jantung terhadap pembikinan sesebuah karya.
“Dia (pengarah) berada di mana-mana. Dia pegang kamera. Dia mengoperasikan wteadicam’. Dia sangat-sangat bertenaga dan penuh dinamik.
Pemain watak utamanya, Omar seorang yang cukup menjaga privasi tentang pegangan agama dan kepercayaannya. Bagaimanapun, setiap kali datangnya, hari penting dalam kalendar Islam seperti Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, dia akan sentiasa berkongsi status hantaran dalam Instagramnya.
Beragama Islam
Omar bagaimanapun jarang bercakap tentang pegangan agamanya kepada media apatah lagi masyarakat umum.
Sebenarnya, itu sepatutnya dilakukan oleh seorang Muslim kerana hubungan dengan Tuhan adalah sesuatu yang bersifat peribadi yang tidak perlu dimegah-megahkan, terutama pada era digital kini.
“Omar dipercayai menganut Islam. Kita tidak tahu dia dibesarkan sebagai orang Islam ataupun dia menganut ketika dewasa atau semasa masih remaja tetapi kami tahu yang agama itu adalah kepercayaan yang diamalkan sekarang,” kata satu sumber.
Berkahwin dengan seorang wanita bernama Helene dan dikurniakan lima orang cahaya mata, Omar, 43, bukanlah berasal daripada keluarga kaya-raya seperti kebanyakan selebriti terkenal lain.
“Ibunya pernah bekerja sebagai seorang pembantu rumah ketika membesarkan dirinya dan tujuh orang adik-beradik lain. Bapanya pula seorang pekerja kilang.
“Dia membesar dalam keluarga berpendapatan rendah ketika kecil,” ujar satu sumber kepada IMDb tulisan, Tiffany Raiford.
You must be logged in to post a comment.