Isteri lapor polis suami naik hantu, ugut tikam

 

DUNGUN – Seorang wanita membuat laporan polis terhadap suaminya yang mengugut mahu menikamnya ketika bertengkar di rumah mereka pada Selasa lalu.

Menurut sumber, sebelum kejadian iaitu kira-kira jam 5.30 petang, difahamkan berlaku pertengkaran mulut antara pasangan suami isteri itu dan berlarutan selepas suspek yang berusia 38 tahun gagal mengawal emosinya lalu memukul serta terajang tubuh mangsa yang berusia 25 tahun.

“Suspek kemudian mengambil sebilah pisau lalu mengacukan ke arah mangsa sambil mengeluarkan kata-kata ugutan ‘aku tikam dengan pisau baru mu (mangsa) tahu’ sebelum meninggalkan rumah.

“Akibat kejadian itu, selain terpaksa menanggung kesakitan di seluruh anggota badan, mangsa mengalami trauma disebabkan terlalu takut dengan ugutan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Sumber berkata, kejadian sama berulang pada keesokan harinya (Rabu), kira-kira jam 10 pagi.

“Tidak tahan kerana sering diugut suspek setiap kali berlaku perselisihan faham kecil sahaja, selain tidak sanggup hidup dalam ketakutan setiap hari, mangsa nekad membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Leave a Reply