Hutang Kerajaan Boleh Diurus, Sakit Hutang Rakyat Bawa Bencana


Dua gambar berbicara.

Rajah pertama: jumlah suntikan fiskal (perbelanjaan Kerajaan/Pemerintah ke dalam ekonomi – tak termasuk inisiatif lain seperti moratorium, pengeluaran wang persaraan dll). Malaysia rendah.

Rajah kedua: pecahan kadar peningkatan hutang antara
– isi rumah (rakyat),
– syarikat/perusahaan,
– Kerajaan/Pemerintah.

Beberapa negara yang berani menambah hutang Kerajaan (hijau), lazimnya berjaya membantu mengawal peningkatan hutang rakyat (ungu).

Kelmarin, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS Malaysia) menerbitkan laporan berhubung pakej rangsangan ekonomi Malaysia semenjak bermula penularan COVID-19 – dari Prihatin, Belanjawan, sampailah ke Permai baru-baru ini.

Antara rumusan: walaupun saiz keseluruhan pakej tampak besar, hakikatnya suntikan fiskal adalah kedua terkecil di rantau Asia Tenggara.

Saya sudah beberapa kali dalam posting FB dan di forum luar mengulas pendirian saya berkenaan konsep perbelanjaan dan suntikan fiskal Kerajaan.

Pendek cerita, defisit dan “hutang” Kerajaan bukan perkara yang perlu ditakuti atau dielakkan sepanjang masa. Yang kita harus lebih risau adalah hutang rakyat yang bertambah. Kadang-kala, dengan menambah hutang Kerajaan – jika ke arah perkara yang betul – boleh menurunkan beban rakyat.

Atas apa-apa sebab, institusi pembuatan dasar dalam negara masih dalam mode konvensional, iaitu takut hutang dan takut defisit.

Masih dalam kerangka minda yang menganggap jika defisit Kerajaan rendah, maka secara automatik itu adalah pencapaian bagus. Sebaliknya, jika defisit Kerajaan tinggi, automatik ia tak bagus.

Sedangkan dalam mendepani pandemik, negara lain menambah defisit jauh lebih besar dari Malaysia untuk membantu ekonomi masing-masing.

Rujuk rajah kedua. Negara-negara yang sedia menambah hutang Kerajaan (hijau), membantu “menyelamatkan” hutang rakyat (ungu).

Selain itu, ayat seperti “Kerajaan tak ada duit” berkesan menyebarluas ideologi yang saya sebut awal tadi: “takut defisit”. Dahulu, sebelum lebih banyak membaca dan belajar, saya sendiri ada ketika berfikir dan berpegang kepada ideologi serupa. Kerana ideologi itu tampak logikal.

Tetapi ideologi tersebut tersasar terutamanya pada era sekarang. Ia mesti dicabar dan mesti diperbetul.

Selagi ideologi ini bertapak, selagi itulah Kerajaan mengikat tangan sendiri dan akibatnya pemulihan ekonomi tidak akan mencapai potensi.

Selagi itulah kita mengharap derma, NGO dan dana persaraan – tidak salah; tetapi sedangkan ada option yang jauh lebih mudah, adil, dan berkesan.

Ambil contoh isu mutakhir PdPR dan kekurangan peranti elektronik.

Semalam, YB Dato’ Sri Najib Razak mencadangkan dana kendalian SKMM untuk membiayai pembelian 2 juta laptop.

Barangkali dana itu salah satu sumbernya – tetapi apapun sumber yang dirasakan sesuai, isu yang utama adalah kesediaan Kerajaan. Kesediaan berbelanja dan jika perlu, meningkatkan defisit, untuk perkara-perkara yang wajar dan mendesak.

Tambahan lagi, darurat memberi kuasa dan keanjalan luas kepada Kerajaan berbanding keadaan biasa.

Seperti sedia maklum, ini termasuklah kemampuan untuk “bypass” proses Parlimen.

Jika sudah memegang kuasa sementara ini, dan jika rasional yang dikemukakan untuk darurat adalah berkisar Covid, maka kuasa itu wajar digunakan sebaiknya demi kemaslahatan rakyat.

Setakat ini, perihal kuasa darurat yang dilaporkan banyak berhubung pembendungan COVID-19, terutamanya melalui penjelasan Menteri Kanan YB Dato’ Seri Ismail Sabri.

Misalnya,
– meningkatkan jumlah denda dan kompaun kepada syarikat,
– kuasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan hanya mengawal sempadan tetapi juga kuasa menangkap sepertimana PDRM,
– penggunaan hospital swasta.

Tetapi keanjalan yang ada pada Kerajaan melalui darurat sekarang harus juga terpakai untuk menangani cabaran ekonomi ekoran Covid-19.

Harapan saya, Kerajaan bertindak segera andaikata perlu belanjawan dan perbekalan tambahan. Termasuklah jika perlu meningkatkan kadar siling hutang, atau menerbitkan bon untuk perbelanjaan mengurus (OE). Selagi ia untuk rakyat, tak membazir, tak boros tanpa had – tentunya mesti cermat, tetapi mesti belanja.

Isu PdPR hanya satu contoh. Ini masalah besar kepasa generasi muda dan ibu bapa muda. Antara sekarang dan Ogos, banyak lagi cabaran akan timbul – termasuklah tentang pengangguran dan pendapatan anak muda – yang memerlukan tindakan tangkas melangkaui apa yang telah diluluskan Belanjawan 2021.

Dalam pengurusan kewangan Kerajaan tahun 2021, cabaran ekonomi rakyat mesti diutamakan. Bukan lagi sebarang sasaran “defisit rendah” yang terlalu mengekang dan tidak relevan pada ketika ini.

Hutang Kerajaan boleh diurus diselenggara. Sakit hutang rakyat yang bawa bencana. – UMNO ONLINE

Shahril Hamdan
Ketua Penerangan UMNO Malaysia

Kerajaan ‘tipu’ jumlah defisit negara, kata Najib

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker