Presiden UMNO harap semua negeri benar masjid, surau laksana solat Jumaat


MASJID dan surau di semua negeri diharap mendapat kebenaran untuk melaksanakan solat Jumaat dengan kapasiti jemaah lebih ramai.

Kebenaran itu berhadap diberikan walaupun jemaah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di surau dan masjid bagi memutuskan rantaian jangkitan Koronavirus (Covid-19).

Permohonan itu tidak bermakna untuk membolehkan kapasiti surau dan masjid dipenuhkan, tetapi masih lagi mematuhi peraturan penjaranan fizikal antara jemaah.

Selaras dengan itu, kaedah pelaksanaan solat berjemaah dan Jumaat dapat dilaksanakan seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)2.0 dilaksanakan.

Walaupun bukan berkapasiti penuh, tetapi penggiliran dapat dilakukan dan akhirnya jemaah dapat menunaikan solat Jumaat.

“Patik menjunjung kasih titah tuanku Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenan semua masjid dan surau di Perak dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat.

“Ini termasuk surau di dalam bangunan pejabat, institusi, universiti, kolej, sekolah dan kilang-kilang sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

“Keputusan itu diperkenan bagi membolehkan lebih ramai individu menunaikan solat Jumaat dengan had maksimum 40 orang jemaah di satu-satu tempat solat Jumaat.

“Pengumuman ini juga antara syor saya kepada pihak berkuasa agama negeri baru-baru ini supaya lebih banyak tempat dibenarkan mengadakan solat Jumaat dalam sesebuah kawasan.”

Demikian kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dalam satu kenyataan menerusi ciapan dalam Twitternya yang menjunjung kasih perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sebelum ini, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, memaklumkan Sultan Nazrin memberi perkenan semua masjid dan surau di Perak dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat.

Kebenaran itu termasuklah masjid dan surau di dalam bangunan pejabat, institusi, universiti, kolej, sekolah dan kilang-kilang sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk juga mengingatkan rakyat supaya tidak mensia-siakan peluang yang diberikan oleh Sultan Perak.

Malah, beliau turut menyeru kepada semua bahawa umat Islam di Malaysia mampu buktikan kepada dunia sebagai masyarakat yang berdisiplin dalam membendung penularan wabak Covid-19.

“Dengan ini juga, saya berharap semua umat Islam Perak jangan sesekali mensia-siakan perkenan, keprihatinan dan kepercayaan yang telah diberikan oleh Tuanku Sultan Perak kepada kita semua.

“Meskipun kelonggaran telah diberikan, kita masih perlu bertanggungjawab keatas diri kita sendiri.

“Kita perlu patuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dan akan dilaksanakan dalam urusan Solat Jumaat.

“Kita perlu membuktikan kepada dunia bahawa umat Islam Malaysia adalah umat yang berdisiplin dan patuh pada SOP bagi menangani penularan wabak Covid-19.

“Saya berharap titah tuanku Sultan Nazrin akan diikuti oleh negeri-negeri lain yang masih belum melaksanakannya,” katanya. SM

Leave a Reply