Malaysia bakal peroleh vaksin buatan China, Rusia

Malaysia bakal peroleh vaksin buatan China, Rusia
KKM hari ini menandatangani dokumen Terms Sheet dengan dua syarikat pembekal vaksin untuk perolehan 18.4 juta dos vaksin. – Foto KKM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menandatangani dokumen Terms Sheet dengan dua syarikat pembekal vaksin untuk perolehan 18.4 juta dos vaksin.

Perolehan melibatkan Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd. (PLS) dan Duopharma (M) Sdn. Bhd. itu akan meliputi 28.75 peratus dari populasi rakyat Malaysia.

Mewakili kerajaan adalah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba manakala Pengarah Urusan PLS, Datuk Zulkarnain Md Eusope dan Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech Berhad, Leonard Ariff Abdul Shatar, mewakili pihak masing-masing.

“Syarikat PLS akan membekalkan sebanyak 12 juta dos COVID-19 CORONAVAC, SARS-COV-2 Vaccine (Vero Cell) Inactivated yang dihasilkan oleh Sinovac Life Science Co. Ltd.

“Pembekalan vaksin ini dijangka dilaksanakan secara berperingkat mulai bulan April 2021.

“Manakala, Syarikat Duopharma (M) Sdn. Bhd. pula akan membekalkan sebanyak 6.4 juta dos vaksin Sputnik V yang dihasilkan oleh Gamaleya Research Institute of Epidemiology and Microbiology di Rusia,” memetik kenyataan itu.

Vaksin ini dijangka akan mula dibekalkan secara berperingkat mulai penghujung bulan Mac 2021.

Bagi vaksin Vero Cell Inactivated, setiap penerima akan diberikan dua dos suntikan vaksin di mana suntikan dos kedua adalah selepas 14 hari dari dos pertama.

Dengan jumlah 12 juta dos ini, KKM menjangkakan liputan program imunisasi kepada enam juta orang atau 18.75 peratus daripada jumlah populasi di Malaysia, berusia 18 tahun ke atas.

“Bagi vaksin Sputnik V pula, setiap penerima akan menerima sebanyak dua dos suntikan di mana suntikan dos kedua adalah selepas 21 hari dari dos pertama.

“Dengan jumlah 6.4 juta dos ini, KKM menjangkakan liputan program imunisasi kepada 3.2 juta orang atau 10 peratus daripada jumlah populasi di Malaysia, berusia 18 tahun ke atas,” kata KKM.

Menurut KKM, pembekalan vaksin dari kedua-dua syarikat ini akan dimulakan setelah mendapat kelulusan dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

KKM sebelum ini telah menandatangani perjanjian pembekalan vaksin dengan syarikat Pfizer dan AstraZeneca.

Jumlah dos vaksin yang telah diperolehi dari kedua-dua syarikat masing-masing adalah sebanyak 24.28 juta dos dan 6.4 juta dos.

Perolehan vaksin-vaksin ini akan diselaraskan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang pada masa ini dalam proses akhir mendapat kelulusan Kerajaan.

Leave a Reply