58 pegawai tadbir Johor terbabit rombakan jawatan

 

Seramai 58 pegawai tadbir di Johor terbabit dalam rombakan untuk mengisi kekosongan jawatan berikutan persaraan wajib dan kenaikan pangkat beberapa pegawai kanan.

Mendahului senarai pertukaran yang berkuat kuasa 1 Feb itu ialah bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Datuk Salehuddin Hasan, yang telah pun mengangkat sumpah sebagai Pegawai Kewangan Negeri Johor semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani dalam kenyataan hari ini memaklumkan Salehuddin menggantikan Datuk A Rahim Nin yang bersara wajib pada Januari.

Kekosongan jawatan Datuk Bandar MBIP akan diisi Datuk Mohd Haffiz Ahmad yang sebelum ini merupakan Pegawai Daerah Muar manakala jawatan Pegawai Daerah Muar bakal diisi Mustaffa Kamal Shamsudin yang kini ialah Yang DiPertua Majlis Perbandaran Muar.

“Sementara itu, Zulkifly Mohd Tahir yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Pegawai Daerah Pontian dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor manakala Zulkiflee Abbas, Pegawai Daerah Batu Pahat, bertukar ke Johor Special Water (JSW) sebagai Pengarah Eksekutif,” katanya lewat petang tadi.

Cara Muhyiddin tadbir negara ada ciri-ciri diktator, dakwa Khalid Samad

Turut bertukar jawatan ialah Pegawai Daerah Kota Tinggi Farizal Ismail yang akan menerajui Institut Dato’ Onn selaku Pengarah manakala Ismail Abu, yang sebelum ini merupakan Pegawai Daerah Kluang, dilantik sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat.

Pegawai Daerah Kluang yang baharu pula akan disandang Jamaludin A. Hamid manakala jawatan Pegawai Daerah Pontian diisi Mohd Rafi Abdullah.

“Rombakan kali ini turut melibatkan bilangan Pegawai Tadbir wanita yang ramai iaitu 12 pegawai dengan enam daripadanya dilantik memegang jawatan utama.

“Mendahului senarai ialah Shubanah Yusuf yang dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Bahagian Pemantauan & Kesejahteraan Rakyat) dan Nor Azleena Abdul Rahman yang menggantikannya sebagai Jurutulis Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor,” katanya.

Azmi berkata rombakan kali ini juga adalah unik dan bersejarah apabila buat kali kedua, sebuah daerah di Johor akan diterajui seorang Pegawai Daerah wanita sekali gus mengulangi sejarah pada 1990.

Beliau berkata Hazlina Jalil, yang merupakan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pengerang sebelum ini, dilantik sebagai Pegawai Daerah Kota Tinggi.

Katanya surat pertukaran kepada semua Pegawai Tadbir terlibat telah diserahkan oleh beliau sendiri di pejabatnya di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad di Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.

– Bernama

Tiada rombakan, yang ada mungkin tambah TPM, kata Muhyiddin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker