Dirasuk syaitan: Presiden Pas digesa mohon maaf secara terbuka


TINDAKAN mendakwa rakyat yang masih belum menjadi pengundi sebagai ‘dirasuk syaitan’, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dituntut memohon maaf.

Ini kerana, Abdul Hadi sebagai seorang yang bepengalaman dalam politik dan menjadi pemimpin parti tidak seharusnya mengeluarkan dakwaan sedemikian.

Malah tindakannya itu dilihat memberi cerminan buruk kepada landskap politik negara sehingga menyebabkan anak muda tidak berminat dengan politik termasuk mendaftar sebagai pengundi.

Selain itu, faktor anak muda mulai menjauhkan diri dengan politik ekoran kecelaruan sekarang yang berlaku dalam kerajaan.

“Dari kenyataan yang dikeluarkan ini, ia tidak melambangkan beliau adalah seorang presiden yang datang dari sebuah parti yang berteraskan Islam.

“Sebagai seorang presiden, Abdul Hadi sepatutnya memikirkan kata-kata yang sesuai bagi sesebuah ucapan dan perkataan ‘syaitan’ ini tidaklah sesuai untuk diperkatakan sebagai sebahagian ucapan mahupun ulasan didalam media massa.

“Berkenaan dengan orang Melayu muda lemah untuk mendaftar menjadi pengundi adalah berpunca daripada keadaan politik yang bercelaru sekarang.

“Walaupun banyaknya parti politik yang menjadi kerajaan, tetapi anak-anak muda masih gagal untuk melihat gerak kerja yang berjaya mencuit hati mereka.”

Demikian kata Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Ashraf Rosli, dalam satu kenyataan hari ini mengulas kenyataan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu.

Sebelum ini, Abdul Hadi dilapor mengeluarkan kenyataan mendakwa rakyat yang masih belum mendaftar mengundi sebagai dirasuk syaitan warisan penjajah.

Justeru, kenyataan Abdul Hadi itu ditempelak, Putra yang menambah Ahli Parlimen Marang itu sepatutnya menyelesaikan pelbagai isu dalam kerajaan termasuk amalan double standard dalam undang-undang.

“Ini adalah kerana banyaknya janji-janji kosong, undang-undang double standard antara pemimpin dan rakyat, bantuan yang dikatakan bersasar tetapi ketika pelaksanaan ramai anak muda tercicir dari bantuan sehinggakan mereka muak dengan arena politik hari ini.

“Oleh itu Putra mendesak agar Abdul Hadi memohon maaf secara terbuka kepada rakyat khususnya kepada orang Melayu muda yang dituduh ‘dirasuk syaitan’.

“Sepatutnya Tuan Guru mencari cara bagaimana hendak menyantuni anak-anak muda supaya berminat semula untuk memahami politik dan seterusnya mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi.

“Ingat cerminan tingkah laku anak muda hari ini adalah berdasarkan acuan dan ajaran yang ditunjukkan oleh pemimpin sedia ada seperti pepatah melayu mengatakan bahawa ‘tiada yang lama, tiada yang baharu’,” tegasnya. SM

One thought on “Dirasuk syaitan: Presiden Pas digesa mohon maaf secara terbuka

  • January 27, 2021 at 14:10
    Permalink

    “Dirasuk syaitan” itu mungkin bunga bahasa sahaja. Macam dalam bahasa Inggeris “ghost from the past” atau pun monster “monstrous” bukan kita maksudkan seseorang itu hantu atau pun raksaksa tetapi sesuatu pekara buruk atau peristiwa pahit yang selalunya kita tak mahu ia berulang sekali lagi.

    Reply

Leave a Reply