20 tahun kumpul barangan Coca-Cola
SEREMBAN – Bermula sekadar hobi dengan menjadikan barangan jenama Coca-Cola atau Coke sebagai koleksi peribadi, kini Ridzwan Darus, 53, berbangga apabila menjadi antara pemilik koleksi barangan jenama minuman itu yang sudah lebih seabad bertapak di pasaran dunia.
Bapa kepada dua anak lelaki itu berkata, beliau mula mengumpul barangan berkenaan sejak remaja lagi sekadar suka-suka dan hobi namun lama-kelamaan, beliau mula jatuh cinta terhadap barangan jenama itu sejak 20 tahun lepas.
“Kebanyakan barangan ini saya beli dalam talian daripada pengumpulnya juga, bazar lambak dan individu di seluruh negara.
“Kadang-kadang ada rakan yang tahu saya memang pengumpul jenama ini, mereka akan tolong beli untuk saya, malah ada barang dibeli dari luar negara,” katanya di sini baru-baru ini.
Menurutnya, terdapat lebih 300 koleksi barangan menggunakan jenama Coca-Cola yang disimpan di rumahnya di Taman Panchor Jaya di sini termasuklah tin dan botol, basikal, bingkai gambar, kasut, baju, topi serta telefon.
Malah, menyedari ada antara barangan itu sudah lama dihentikan pengeluarannya dan bakal menjadi bahan sejarah serta buruan penggemar jenama Coke, Ridzwan menyediakan satu ruang khas di rumahnya dan menyusun semua barangan berkenaan dengan kemas untuk tatapan.
“Setiap barangan ini ada yang cecah RM500 untuk satu barang. Antara koleksi paling lama yang disimpan adalah botol dari tahun 1980. Saya tidak rasa ia satu pembaziran sebaliknya memberi kepuasan dan nilai sentimental kepada saya,” katanya.
Antara barangan keluaran Coca Cola yang berada dalam simpanan Ridzwan. -Foto Facebook Ridzwan Darus
Malah, anak jati Bentong, Pahang ini berkata, minat itu diwarisi anaknya, Mohamad Aidil Fakhri Ridzwan, 21, yang turut mempunyai hobi mengumpul barangan berkenaan sejak 14 tahun lepas.
Ridzwan berkata, beliau menjadikan rutin setiap bulan untuk mengelap kotoran dan habuk pada koleksinya malah beliau tidak sekali pun berasa terbeban malah gembira apabila melihat barangan berkenaan sentiasa bersih dan kelihatan baharu.Jelas Ridzwan yang turut memiliki kemahiran pertukangan membaik pulih pelbagai barangan antik, kebanyakan susun atur koleksi itu adalah melalui ideanya dan isteri, Fouziah Mahamad Hamli, 51, selain turut merujuk majalah.
Pekerja syarikat swasta itu berkata, mereka yang berkunjung ke rumahnya pasti melahirkan kekaguman melihat koleksi yang dimiliki dan ada yang teruja kerana banyak koleksi berkenaan dapat mengimbau kenangan zaman kanak-kanak mereka.
Selain barangan jenama itu, Ridzwan turut menjadikan barangan berjenama Milo sebagai koleksi peribadi serta lebih ratusan barangan lama dan terpakai termasuk seterika tembaga, pinggan mangkuk, telefon dan koleksi wang yang menghiasi segenap ruang rumahnya. – Bernama
10 Kegunaan Lain Coca-Cola Yang Kamu Tak Pernah Terfikir Pun
You must be logged in to post a comment.