Setahun bersama Covid-19, apa khabar rakyat?

Sedarkah kita sudah setahun virus Covid-19 ‘hadir’ di negara kita ini? Tepatnya pada tarikh 25 Januari tahun lalu apabila mantan menteri kesihatan, Dzulkefly Ahmad memaklumkan kes pertama 2019-nCoV.

Kes pertama ini membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari 2020. Dalam usaha menangani virus yang baru ‘bertamu’ di negara ini, kerajaan terdahulu pula jatuh dek ‘permainan’ kuasa.

Jika dikenang kembali peristiwa itu, sewajarnya ia tidak berlaku memandangkan kerajaan ketika itu berusaha menangani situasi pandemik yang telah melanda dunia, manakala rakyat pula bergelut dengan situasi yang tidak menentu, bilakah akhirnya semua ini.

Pada masa yang sama, ahli politik terus bercakaran sesama mereka tanpa ada rasa malu dengan rakyat apalagi dengan Yang Maha Pencipta, membuat pelbagai tuduhan dan persepsi tanpa mengutamakan kebajikan rakyat yang terus terhimpit dan tersepit.

Namun, ia terjadi juga hingga kes jangkitan virus ini semakin hari semakin meningkat pada akhir tahun 2020 dengan angka yang menggusarkan sekalian rakyat jelata.

Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia pada 31 Disember 2020, bahawa Malaysia mencatatkan sebanyak 2,525 kes baharu hingga menjadikan ia kes tertinggi direkodkan bagi tahun 2020.

Seterusnya pada awal tahun 2021 sampailah ke hari ini, setelah mencecah 365 hari wabak itu berada di negara ini, angka-angka itu terus menaik dan mencemaskan rakyat Malaysia.

Beberapa tindakan dibuat kerajaan sedia ada memberi kesan yang mendalam kepada rakyat apabila Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin memberikan ucapan secara langsung di televisyen mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 bermula pada 18 Mac 2020.

Ia dikuatkuasakan sebagai tindakan pencegahan oleh kerajaan terhadap kes pandemik koronavirus (COVID-19) dengan menghadkan gerakan rakyat Malaysia di seluruh negara.

Namun, wujud layanan berbeza dengan ‘kasta’ berbeza dalam penguatkuasaan. Apabila ada orang penting (VIP) tidak mematuhi SOP sering terlepas, apabila rakyat biasa tersilap sedikit daripada radar SOP, maka kompaun RM1,000 pun dikenakan. Di manakah keadilan?

Mana menteri kesihatan?

Peranan yang cukup berat terpaksa ditanggung oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah kerana setiap hari mengadakan sidang media membentangkan laporan perkembangan Covid-19 di negara ini.

Persoalan yang terus berlegar sehingga hari ini dalam kalangan rakyat, ke mana menteri kesihatan dalam kerajaan hari ini? Dan sampai bila ketua pengarah Kesihatan perlu memikul beban itu?

Kes mendadak terus berlaku di awal tahun 2021 ini. Peningkatan kes dan kewujudan lebih banyak kluster baharu membuatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berdasarkan penilaian risiko dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), melaksanakan semula PKP. Walaupun sebelum ini pernah dilaksanakan, ia memberikan kesan yang sangat hebat kepada rakyat untuk mendepaninya.

Isu kebajikan rakyat yang masih belum dapat ditangani dengan sewajarnya, apalagi berkaitan pendidikan dan ekonomi yang tidak diatasi dengan sebaiknya.

Sebilangan besar anak-anak di luar bandar dan pedalaman pula tercicir pendidikannya berikutan tidak mempunyai kemudahan komputer riba atau telefon bimbit serta tidak mendapat capaian Internet yang lancar untuk meneruskan pembelajaran dalam talian.

Bagaimana keadaan rakyat yang terus mendapat tekanan dengan situasi yang dilalui ini? PKP 2.0 pun terjadi di semua negeri kecuali Negeri Sarawak.

Satu pukulan yang cukup hebat kepada rakyat apabila pendapatan mereka terjejas, hingga ada yang dibuang kerja dalam beberapa sektor yang tidak dapat bergerak dan lain-lainnya.

Perdana Menteri pula sering menyampaikan sesuatu yang disukai rakyat berupa pelbagai bantuan dalam perutusannya. Namun, tidak semua rakyat mendapatnya berikutan ia perlu melalui pelbagai tapisan.

Sebagai contoh dalam pengeluaran i-Sinar KWSP. Meskipun i-Sinar merupakan kemudahan untuk ahli KWSP yang terjejas dalam tempoh krisis Covid-19 bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup, tapi terdapat juga mereka yang tidak layak menerimanya walaupun telah membuat permohonan.

Pelbagai skim dan bantuan yang dibuat pada tahun lalu ketika PKP 1.0, tidak diberikan lagi kali ini, termasuklah moratorium (penangguhan pembayaran pinjaman). Sungguh rakyat merasakan ‘kesakitan’ itu sekali lagi.

Barisan hadapan yang ‘tidak dipeduli’

Barisan hadapan khususnya para doktor, jururawat dan sekalian mereka yang bertugas di hospital, yang bertungkus lumus berkerja siang malam untuk menyelamatkan pesakit, sepatutnya diberikan keperluan yang sewajarnya oleh pihak kerajaan untuk memudahkan mereka melaksanakan tugas dengan sebaiknya.

Hinggakan seorang doktor meluahkan rasanya melalui penulisan yang bertajuk Doktor Hospital Sg Buloh: ‘Tolong layan kami dengan manusiawi’

Suka saya memetik tulisan yang menggunakan nama doktor itu:

“Saya seorang doktor yang bekerja di hospital ini dan saya boleh katakan bahawa kemudahan asas yang sepatutnya diberikan untuk kami tidak disediakan.”

“Kadang-kadang kami melakukan syif kerja on-call setiap hari (EOD) dalam menangani dan menguruskan pesakit Covid-19 serta terus bekerja selepas syif panggilan bertugas itu sehingga jam 5.00 petang.”

“Saya faham bahawa ini tugas kami dan saya berterima kasih untuknya.”

“Mereka (pengurusan) sepatutnya memberi kami bilik syif on-call, memberi kami makanan syif on-call, memberi kami tempat yang sesuai, sekurang-kurangnya buat kami melepaskan lelah dan berehat sebelum meneruskan pertempuran tetapi semua ini telah diambil atau diberitahu tidak tersedia buat masa ini.”

Apa maklum balas pihak kerajaan khususnya di barisan para menteri terutamanya menteri kesihatan? Benar, ini bukanlah masanya sesiapun menuding jari dengan apa yang terjadi. Namun, ia perlu didedahkan agar kepimpinan negara bertindak dan bermuhasabah dengan apa yang telah terjadi.

Rakyat kena tolong rakyat?

Ada ahli politik terus bercakaran dengan agendanya tersendiri namun rakyat juga yang mendapat kesannya. Jika ditelusuri lagi, menteri yang manakah sering turun ke dalam kancah masyarakat?

Lihat sahaja Ustaz Ebit Lew yang bukan menteri apalagi bukan wakil rakyat tetapi terus memberikan khidmatnya untuk rakyat. Hingga adakalanya beliau bersama pasukannya penat yang keterlaluan serta amat sedih apabila tidak dapat membantu semua mereka yang kesusahan dan memerlukan.

Bayangkan baru-baru ini, beliau yang juga seorang pendakwah telah memaklumkan menerima 43,000 mesej atau lebih tepat 43,000 individu yang memerlukan kelengkapan gajet seperti tablet dan telefon bimbit bagi keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Beliau memberitahu melalui status Facebooknya, permohonan itu datangnya dalam kalangan mereka yang kurang upaya (OKU), tiada pekerjaan, anak yatim piatu termasuk keluarga kurang mampu.

Bagaimana beliau seorang rakyat yang mengambil peranan membantu rakyat juga? Pada status yang sama, beliau memohon maaf kerana tidak dapat membantu lebih ramai individu yang memerlukan gajet berkenaan.

Di mana mereka yang sepatutnya melaksanakan ‘tugasan’ itu?

Apabila terdapat isu mengenai seorang suri rumah yang terpaksa mencuri ubat-ubatan dan makanan untuk anaknya yang sakit, apa tindakan kerajaan dengan situasi ini? Setakat yang saya perhatikan, masih senyap, membisu.

Situasi tersebut mendapat perhatian Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal dan beliau turun padang bertemu dengan wanita tersebut. Sebelumnya, ibu kepada tiga anak itu ditahan oleh seorang pengawal keselamatan sebuah pasar raya di daerah ini kerana mencuri Kool Fever, sosej dan kek.

Atas dasar belas ihsan, IPD Petaling Jaya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat menyumbang barangan makanan dan barangan harian kepada wanita itu.

Jangan kerana wabak yang hadir, rakyat tercicir

Sampai bila segala ketidaktentuan ini akan berakhir? Di saat masih banyak masjid surau masih ditutup dan institusi pendidikan masih dalam talian, situasi kelaparan, kekurangan dan masalah sosial masyarakat masih berleluasa.

Sudah setahun virus Covid-19 di negara ini, sewajarnya kerajaan sedia ada mempunyai ‘ramuan’ untuk mengurus dan membendung segala kesan yang berlaku.

Namun dapat dilihat belum ada solusi terbaik untuk menangani krisis yang terjadi, termasuklah dalam aspek kebajikan petugas kesihatan, peralatan PdPR dan peningkatan pengangguran. Jangan kerana wabak yang melanda, rakyat keciciran semua.

Ketika persoalan begini banyak diutarakan oleh netizen di statusnya, sebolehnya ingin saya jawab sebagaimana hadis yang selalu kita dengar.

Daripada Abu Hurairah radiallahuanhu berkata bahawa Rasulullah Salallahualaihiwasallam (SAW) bersabda, “Jika amanah telah disia-siakan, tunggu saja kehancuran terjadi.” Ada seorang sahabat bertanya, “Bagaimana maksud amanah disia-siakan?” Nabi menjawab, “Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu.” [Hadis Riwayat Bukhari]

Sudah sampai masa untuk kepimpinan negara bermuhasabah dengan amanah yang diberikan untuk mentadbir dan mengurus negara serta berkhidmat untuk rakyat dengan sebaik-baiknya. Jika amanah ini disia-siakan, dibimbangi negara ini akan jauh daripada rahmat Allah dan berada di ambang kehancuran, nauzubillah.

Kita berdoa dengan penuh harapan kepada Allah SWT agar wabak Covid-19 dan segala kekusutan daripadanya segera berakhir. Moga kepimpinan negara akan lebih mengambil peduli segala yang terjadi kepada rakyat, bukan meneruskan percakaran politik sesama mereka yang mana rakyat menjadi mangsanya. Sedarlah!


ATRIZA UMAR berkhidmat dengan Jabatan Penerangan dan Perhubungan, Pertubuhan Ikram Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker