Penutupan penuh ekonomi, 2.8 juta orang risiko hilang kerja – Ismail Sabri

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menjangkakan kira-kira 2.8 juta orang berisiko kehilangan pekerjaan sekiranya penutupan penuh ekonomi dilaksanakan bulan depan.

Dia berkata kerajaan akan mempertimbangkan secara menyeluruh kesan-kesan yang mungkin akan berlaku sebelum memutuskan tindakan selanjutnya selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 berakhir pada 4 Februari ini.

Ismail merujuk kepada spekulasi kemungkinan penutupan penuh ekonomi berikutan pekeliling sulit yang didedahkan oleh Dewan Perdagangan dan Perindustrian Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (Eurocham Malaysia).

Dalam satu taklimat media, Ismail berkata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah telah memberi bayangan untuk menggantikan pelaksanaan PKP sedia ada dengan PKP Bersyarat bulan depan.

Bagaimanapun, Ismail mengulangi belum ada sebarang keputusan muktamad sehingga Majlis Keselamatan Negara bermesyuarat sebelum 4 Februari.

“Ya, kita mahu jaga kesihatan rakyat, tapi kita juga mahu lindungi kepentingan rakyat terutama golongan miskin. Jika kita tutup, tentu jejaskan ekonomi.

“Kesannya, 2.8 juta rakyat berisiko hilang kerajaan, 2.5 juta sukar meneruskan kelangsungan, B40 akan hilang pendapatan dalam tempoh sebulan dianggarkan RM6.4 bilion dengan purata RM2,400 satu keluarga,” katanya.

Antara bulan Mac dan Oktober 2020, 13,445 syarikat telah memberhentikan operasi berikutan pelaksanaan PKP.

Berhubung rayuan beberapa sektor perniagaan seperti tukang gunting rambut, peniaga pasar malam dan pengusaha cuci kereta untuk dibenarkan beroperasi semula, Ismail berkata perkara itu akan dibincangkan dalam satu mesyuarat pada waktu terdekat.

“Insyallah, kerajaan sebelum 4 haribulan (Feb) nanti akan berbincang dari segi kesan-kesan yang akan timbul jika total lockdown dilaksanakan,” katanya.

Ditanya mengapa beberapa perkhidmatan tertentu yang tidak penting dibenarkan beroperasi, sedangkan peniaga kecil lain tidak dibenarkan berniaga, Ismail tidak bersetuju dengan soalan tersebut, berkata hanya perkhidmatan penting yang dibenarkan.

“Tak kira sama ada dalam hypermarket, shopping mall atau tepi jalan. SOP sama. Saya harap orang ramai boleh laporkan pada pihak berkuasa supaya tindakan boleh diambil.

“Yang salah kita ambil tindakan,” katanya.

Sebelum ini, bekas perdana menteri Najib Razak mempertikaikan mengapa syarikat perabot besar, kedai emas popular dan butik pakaian dalam dari Amerika Syarikat dibenarkan dibuka semasa PKP 2.0.

 

Leave a Reply