Hamzah…luluskan saja Muda, takut apa dengan Syed Saddiq, kata Puad
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerusi Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin meluluskan pendaftaran parti Muda, yang diasaskan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman.
Puad berkata, tidak ada apa yang perlu PN takutkan dengan parti Muda, memandangkan Belanjawan 2021 sudah diluluskan di Dewan Rakyat, manakala Muhyiddin Yassin pula boleh kekal menjadi perdana menteri sehingga darurat ditamatkan.
“Elok kerajaan PN luluskan sahaja Muda. Lagipun, takut apa dengan Syed Saddiq. Bajet 2021 sudah lulus, Muhyiddin boleh terus jadi perdana menteri sampai darurat ditamatkan. Apa pun, jangan main-main dengan Hamzah, dia sangat berkuasa.
“Dia menteri jaga polis, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Dahulu Hamzah melutut dengan Dr Mahathir Mohamad, sekarang Mahathir melutut dengan Hamzah untuk daftar Pejuang,” katanya dalam kenyataan.
FMT sebelum ini melaporkan, dalam afidavit mengejutkan difailkan di mahkamah, Syed Saddiq mendakwa Hamzah “memujuknya” menyokong kerajaan jika mahu pendaftaran parti Muda pimpinannya diluluskan.
Syed Saddiq berkata, perkara itu berlaku di Dewan Rakyat semasa sesi perbahasan belanjawan ketika beliau membincangkan perkara itu dengan Hamzah kerana JPPM berada bawah bidang kuasa Hamzah.
Awal bulan ini, 13 penaja Muda yang diketuai Syed Saddiq memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan JPPM dan menteri menolak pendaftaran parti itu.
Mereka juga mahu memaksa JPPM mendaftarkan Muda sebagai parti politik dalam masa tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah.
Pada 6 Jan, JPPM menolak permohonan pendaftaran Muda tanpa memberikan sebab khusus.
Muda memfailkan permohonan untuk mendaftarkan parti itu pada 17 Sept dan mengemukakan perlembagaannya yang disemak semula pada 6 Okt-FMT
Hamzah Beri Syarat Sokong Perikatan Nasional, Baru ‘Muda’ Diluluskan – Syed Saddiq