Isu Thaipusam: Pemuda PAS lapor polis dakwa lukisan karikatur Zunar aibkan MB Kedah


Pemuda PAS Kedah membuat laporan polis terhadap kartunis, Zunar berhubung lukisan karikatur beliau yang didakwa memfitnah Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bersabit isu sambutan Thaipusam di negeri itu.

Ketuanya, Nurul Amin Hamid yang membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Padang Terap, menuduh Zunar menggunakan bakat melukisnya untuk memfitnah Sanusi.

Bagaimanapun, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque memberitahu FMT, lukisan itu memaparkan pendiriannya mengenai isu cuti Thaipusam yang hangat diperkatakan pelbagai pihak.

“Pemuda PAS ada hak dia untuk membuat laporan polis, seperti juga saya berhak meluahkan pandangan saya mengenai isu yang melibatkan kepentingan umum,” kata beliau.

Nurul Amin yang juga ketua Pemuda Pas Padang Terap berkata, Zunar patut tampil menuntut penjelasan mengenai pembatalan cuti peristiwa Thaipusam di Kedah tahun ini.

“Kalau tuan (Zunar) perlukan penjelasan, bila-bila masa Kedah buka pintu untuk berbincang. Tiada diskriminasi agama dan kaum di Kedah.

“Oleh kerana tuan telah memuat naik karikatur fitnah terhadap menteri besar Kedah, maka satu laporan polis telah dibuat agar tindakan sewajarnya diambil.”

Tambahnya, laporan itu dibuat sebagai pengajaran kepada semua pihak, bukan semua perkara boleh dipolitikkan sewenang-wenang dan sesuka hati.

Zunar berkata, apa juga tindakan diambil Pemuda PAS boleh diterimanya selagi ia “bukan cubaan untuk menyekat kebebasan bersuara saya”.

“Pemuda PAS boleh membuat tafsiran mengenai lukisan saya, tetapi jangan anggap tafsiran itu sebagai undang-undang. Saya dan orang lain juga berhak mempunyai pandangan tersendiri mengenai isu yang penting ini,” kata beliau.

Minggu lalu, Sanusi mengumumkan pembatalan cuti peristiwa untuk Thaipusam tahun ini selepas acara utama sambutan dibatalkan kerana penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan untuk mengekang Covid-19.

Bagaimanapun, keputusan itu mencetuskan kemarahan pelbagai pihak, khususnya MIC yang menuduh Sanusi jahil dan angkuh serta menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Sanusi menafikan segala tuduhan itu, sebaliknya menuduh MIC mengikut “tarian perkauman” DAP untuk meraih sokongan politik. FMT

Isu Cuti Thaipusam: Ini Jawapan Tuntas MB Kedah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker