Gesaan Supaya Zahid Berundur, Pemuda UMNO Perak Bangkit Pertahan Presiden

 

Pemuda Umno Perak menyelar tindakan sesetengah pihak yang mendesak Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada memegang jawatan presiden Umno.

Ketua Pemuda Umno Perak, Mohd Ariff Abdul Majid, berkata segala perbezaan pendapat harus diselesaikan secara berhemah dan bijak melalui konsep musyawarah.

“Ahli dan pemimpin Umno perlu berfikir impak dan kesan kepada imej parti dan institusi presiden melalui kenyataan-kenyataan peribadi yang dikeluarkan.

“Dalam keadaan negara menghadapi waktu yang sukar kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) serta peningkatan kes Covid-19 dewasa ini, seharusnya fokus ditumpukan kepada bebanan dihadapi oleh rakyat dan bukannya mengeruhkan lagi keadaan yang langsung tidak menyumbang kepada keperluan rakyat.

“Perbezaan pendapat harus diselesaikan secara berhemah dan bijak melalui konsep musyawarah, hal dalaman parti tidak perlu diulas secara umum kerana apa yang penting adalah bagaimana untuk menguatkan serta mengangkat martabat parti keramat ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan gesaan dari akar umbi Umno supaya Zahid ‘berehat secara terhormat’.

Gesaan itu mula disuarakan oleh Ketua Pemuda Umno Pontian, Helmi Buang, sebelum disambut oleh Ketua Pemuda Umno Seremban, Zool Amali Hussin dan beberapa yang lain.

Pada 22 Jan lalu, Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Ahmad Tajuddin Sulaiman juga dilapor membuat saranan yang sama.

Portal BH Online memetiknya sebagai berkata, kemelut pimpinan tertinggi Umno, khususnya ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan ahli parlimen sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan Perhimpunan Agung Umnno 2018 berlarutan tanpa penyelesaian.

“Tindak tanduk ahli MKT dan ahli parlimen yang tidak terarah mendedahkan Umno kepada kehilangan keyakinan orang Melayu yang sangat diperlukan bagi menghadapi PRU-15.

“Arah tuju yang tidak jelas berserta lemah ketegasan tindakan membawa kesan kepada daya juang dan kesungguhan 3.6 juta ahli Umno,” kata Ahmad Tajuddin.

Dalam pada itu, Pemuda Umno Perak yakin dengan kekuatan yang telah dibina oleh presiden parti dalam “menegakkan layar” di saat Umno dipukul ombak.

“Di dalam pertempuran, selain strategi kalis masa dan pasukan yang kuat, kepercayaan serta keyakinan kepada kepimpinan yang mengemudi organisasi dalam institusi adalah kunci utama kemenangan.

“Pemimpin dan ahli Umno harus berprinsip dan konsisten dalam perjuangan. Dalam keadaan Umno berdepan dengan ancaman dari segenap sudut, seharusnya kita menguatkan tiang serta tunjang parti. Jangan biarkan api yang kecil ini membakar tiang yang telah dibina,” katanya

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker