Darurat Pulihkan Ekonomi: Mantan Menteri Kewangan Cabar Menteri Kewangan Buktikan

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini ‘mencabar’ Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menamakan sebuah negara dalam dunia yang menggantung parlimen atas alasan mahu menghadapi Covid-19.

Membuat kenyataan bersifat menyindir melalui hantaran di media sosial Najib berkata tidak ada mana-mana negara pun bertindak mengisytiharkan darurat dan menggantung parlimen untuk memperkukuhkan ekonomi.

Jelas Najib darurat diisytiharkan di negara lain bermaksud untuk memberi kuasa kepada kerajaan kerana mereka tidak mempunyai akta seperti Malaysia.

“Perlu jujur, bro. Rugilah negara-negara lain tak gantung parlimen jika benar bahawa langkah ini boleh kuatkan ekonomi,” katanya.

Bekas presiden Umno itu juga berkata adalah tidak tepat untuk menyamakan Malaysia dengan 80 negara lain yang mengisytihar darurat kerana diancam Covid.

“Darurat bagi negara-negara lain bermaksud kuasa diberi kepada kerajaan untuk lakukan lockdown (sekatan pergerakan) sebab mereka tidak ada akta-akta seperti kita yang boleh lockdown tanpa darurat.

“Parlimen mereka tak pernah gantung,” katanya.

Terdahulu, Tengku Zafrul dilaporkan berkata dakwaan yang mengatakan proklamasi darurat menakutkan golongan pelabur adalah tidak tepat, sebaliknya ia mampu membantu pemulihan ekonomi negara.

Kata senator itu lagi, Malaysia merupakan satu daripada 80 negara di dunia – atau hampir setengah daripada seluruh dunia – yang mengisytiharkan darurat bagi menangani pandemik Covid-19.

“Seperti yang saya katakan, kesihatan awam adalah kunci untuk pemulihan ekonomi. Saya ingin jelaskan apa-apa keputusan dalam tempoh ini perlu mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong atau orang yang dilantik baginda,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian pada satu sesi taklimat khas mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion dengan 22 inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pada 12 Jan lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung pandemik Covid-19 di negara ini.

Kata Najib, Malaysia satu-satunya negara dalam dunia menggunakan alasan Covid untuk gantung parlimen.

“Senang sahaja, Tengku Zafrul. Namakan satu negara lain dalam dunia yang gantung parlimen (bukan tunda sesi parlimen) selama tujuj bulan,” kata Najib lagi.

Leave a Reply