Tengku Zafrul ada hubungan keluarga dengan Muhyiddin?

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menjawab tuduhan mempunyai konflik kepentingan kerana memiliki hubungan keluarga dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Menurut Tengku Zafrul, hubungan jauh tersebut tidak melanggar garis panduan tadbir urus korporat, selepas terdapat dakwaan berlaku nepotisme berikutan pelantikannya dalam kabinet Muhyiddin awal tahun ini.

“Boleh tolong jelaskan bagaimana saya mempunyai hubungan persaudaraan dengan perdana menteri melalui perkahwinan?,” soal Tengku Zafrul ketika diwawancara dengan stesen radio perniagaan BFM pagi ini.

Tidak lama selepas pelantikan Zafrul, seorang penganalisis yang tidak mahu disebutkan namanya, memberitahu Malaysiakini bahawa hubungan kekeluargaan itu akan membolehkan Muhyiddin memberi pengaruh yang besar terhadap Tengku Zafrul.

Penganalisis berkenaan merupakan sebahagian daripada kem bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Penganalisis itu berkata Tengku Zafrul mempunyai hubungan dengan keluarga Muhyiddin melalui adiknya Tengku Zuhri Tengku Abdul Aziz, seorang bekas exco Pemuda Umno yang tidak berjaya bertanding bagi jawatan majlis tertinggi dalam pemilihan parti itu pada tahun 2018.

Tengku Zuhri berkahwin dengan Fara Nadia Abd Rahim, yang mana kakaknya Fara Ikma Abd Rahim berkahwin dengan anak sulung Muhyiddin, Fakhri Yassin.

“Berapa banyak perkahwinan itu? Melalui tiga perkahwinan,” kata Tengku Zafrul hari ini.

Tengku Zafrul berkata kod tadbir urus Korporat Malaysia oleh Suruhanjaya Sekuriti tidak mentakrifkan perkara seumpama itu sebagai hubungan kekeluargaan.

“Bagaimana hubungan melalui tiga perkahwinan merupakan hubungan persaudaraan? Tidak ada kaitan,” kata bekas ketua eksekutif CIMB itu.

Dalam wawancara itu, Tengku Zafrul juga menafikan dakwaan memliki cita-cita politik peribadi, termasuk tuduhan bahawa dia telah menubuhkan tiga cawangan Umno semasa menjadi pegawai bank.

“Saya tidak terlibat dalam menubuhkan cawangan Umno, saya bukan ahli parti politik mana pun, dan saya tidak berminat untuk menyertai parti politik buat masa ini.

“Fokus mengapa saya berada di sini adalah untuk membantu merangsang ekonomi ke arah pemulihan,” tegasnya. Mk

Tahap hutang negara mungkin cecah 55 peratus – Tengku Zafrul

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker