Annuar bidas Ahmad Maslan gesa MP UMNO minta Agong adakah sidang Parlimen
AHLI Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa membidas surat yang dikirimkan oleh Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan kepada semua Ahli Parlimen UMNO.
Surat yang dihantar semalam itu bagi meminta ahli Parlimen UMNO untuk menyatakan persetujuan meminta Yang di-Pertuan Agong memanggi sidang Dewan Rakyat di bawah Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.
Annuar menyifatkan surat yang dihantar oleh Ahli Parlimen Pontian itu sebagai melanggar etika berorganisasi dan menghina keputusan parti UMNO.
Selain itu surat tersebut juga didakwa sebagai satu bentuk percubaan untuk menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Ia juga satu usaha yang jelas untuk terus bersekongkol dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar dan DAP yang sebelum ini meminta perkara yang sama dilakukan oleh Ahli Parlimen.
Sementara itu Annuar berkata, surat yang dihantar oleh Ahmad mengandungi kesilapan dalam mentafsirkan Fasal 150(3) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya Perkara 150(3) yang dirujuk bermaksud untuk membentangkan bagi tujuan pemakluman kepada Parlimen tentang Proklamasi dan Ordinan atau Undang-undang yang dibuat bagi tujuan pengistytiharan darurat.
“Yang Berhormat Datuk Seri seharusnya faham setelah proklamasi dibuat di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Parlimen hanya boleh bersidang selepas tamat tempoh darurat seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu),” katanya.-SM