21 Ahli Parlimen pembangkang gesa Putrajaya lanjut masa operasi kedai makan

Ahli Parlimen pembangkang menggesa Putrajaya mengkaji semula masa operasi premis makanan dan minuman agar tidak lagi terhad sehingga jam 8 malam seperti ditetapkan dalam SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN).

21 Ahli Parlimen berkenaan berkata, masa operasi kedai makanan dan minuman seperti sekarang menyusahkan anggota masyarakat yang perlu membeli makanan selepas tamat waktu bekerja.

“Membenarkan peniaga beroperasi mengikut lesen perniagaan mereka akan membantu memulihkan ekonomi peniaga, menjana pendapatan penghantar makanan serta menggalakkan rakyat duduk di rumah.



“Hal ini kerana mereka boleh membuat pesanan dari rumah dan tidak terhad sehingga 8 malam sahaja,” kata mereka dalam kenyataan bersama, hari ini.

21 Ahli Parlimen tersebut ialah Darell Leiking (Penampang), Syed Saddiq Abdul Rahman (Muar), Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Hannah Yeoh (Segambut), Yeo Bee Yin (Bakri), Baru Bian (Selangau), R Sivarasa (Sungai Buloh), Salahuddin Ayub (Pulai), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Teo Nie Ching (Kulai), Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Mahfuz Omar (Pokok Sena), Khalid Samad (Shah Alam), Maszlee Malik (Simpang Renggam), Maria Chin (Petaling Jaya), Wong Shu Qi (Kluang), Teresa Kok (Seputeh), Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Lee Boon Chye (Gopeng), Kasthuriraani Patto (Batu Kawan) dan Nor Azrina Surip (Merbok).

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan majoriti perniagaan di kawasan perintah kawalan pergerakan (PKP) dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam.

Ini termasuk kedai runcit dan serbaneka, penjaja tepi jalan, medan selera dan restoran.



Beliau juga menegaskan, pelanggan tidak boleh makan di dalam premis, dan hanya perkhidmatan penghantaran, pembungkusan dan pandu lalu dibenarkan.

Tambah Ahli Parlimen terbabit, keputusan MKN mengehadkan tempoh masa perniagaan memberi kesan ke atas peniaga yang bergantung pada pendapatan harian mereka.

Ia sekali gus menggesa kerajaan turut melanjutkan tempoh moratorium pinjaman bank peniaga bagi membantu golongan itu bertahan dalam keadaan ekonomi sekarang.

“Kami juga menggesa kerajaan melanjutkan moratorium (pinjaman) sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan lagi.



“Berbanding semasa PKP fasa pertama, peniaga mungkin lebih teruk terjejas kali ini.

“Ini kerana mereka juga terpaksa menanggung pembayaran sewa kedai dan gaji pekerja tanpa adanya moratorium seperti sebelum ini,” katanya.-FMT

Penghantar makanan, pelanggan harap kedai makan buka sampai 10 malam



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker