Fokus! Asyraf Wajdi beritahu ahli Umno di sebalik seruan gesa Zahid berundur
PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, meminta ahli partinya supaya fokus kepada membela rakyat di sebalik seruan menggesa Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatan presiden.
“Di tengah-tengah krisis pandemik dan keperitan rakyat ini, sudah tentu polemik politik, sama ada dalaman parti dan antara parti adalah perkara terakhir yang rakyat mahu terjebak atau terheret,” katanya dalam kenyataan.
Dalam masa sama, beliau berkata Pemuda Umno berpendirian parti itu harus kembali ke ‘landasan asal’, menjadikan mantera “tradisi membela rakyat” sebagai teras perjuangannya.
Kenyataan ini menyusuli laporan beberapa laman semalam, melaporkan Pemuda Umno Pontian mahu Zahid berundur secara terhormat ketika parti itu dikatakan tidak mempunyai hala tuju yang jelas bawah kepimpinannya.
Kekecohan juga timbul apabila kain rentang “Minta presiden undur dari jawatan beliau sebagai presiden Umno” digantung di Shah Alam.
Dalam pada itu, Asyraf menyeru pemimpin Umno dalam dan luar kerajaan berusaha menuntut bagi pihak rakyat perkara yang menyentuh kebajikan.
Ini seperti mempermudahkan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa syarat atau kriteria, bantuan kebajikan rakyat musim PKP 2.0 sebagaimana PKP kali pertama, dan lanjutan moratorium tanpa syarat dan tidak dikenakan penalti atau caj tambahan.