Video pesakit Covid-19 minum bir di pusat kuarantin disiasat

Sebaran :

 

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Sabah sedang menyiasat video dikatakan rakaman pesakit Covid-19 minum bir di pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah di ibu negeri itu.

Video 12 saat itu tersebar di media sosial sejak semalam.

Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Christina Rundi, berkata meminum arak tidak dibenarkan di semua pusat rawatan dan rawatan berisiko rendah di negeri itu.

“Kes itu sedang disiasat,” katanya ketika dihubungi.

Dalam video itu, seorang lelaki dipaparkan memegang tin bir sambil berbual dengan orang lain.

Di penghujung rakaman, seorang lelaki dilihat bersama dua bekas berisi bir.

Sementara itu, satu lagi video tular memaparkan penghuni pusat rawatan berisiko rendah di Keningau menari Poco-poco.

Video itu dirakam oleh pesakit yang boleh didengar berkata mereka hanya mahu menghiburkan diri semasa dalam pengasingan.

Pusat itu merupakan sebuah bangunan empat tingkat dengan laman yang luas.

Sekumpulan wanita boleh dilihat menari berlatarkan lagu yang dimainkan, sementara beberapa orang lain cuma memerhatikan.

Terdapat 2,868 kes aktif di Sabah sehingga semalam, dengan 786 orang sedang dirawat di hospital dan 2,082 ditempatkan di pusat rawatan berisiko rendah.


Sebaran :

Leave a Reply