Data kotak hitam pertama Sriwijaya Air selesai dikumpulkan
JAKARTA – Penyiasat Indonesia berjaya mengumpulkan data daripada kotak hitam pertama pesawat penumpang Sriwijaya Air SJ182 yang terhempas minggu lalu, demikian menurut satu kenyataan hari ini.
“Rakaman berada dalam keadaan baik dan sekarang kami sedang memeriksa data,” kata Ketua Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional, Soerjanto Tjahjono dalam satu kenyataan.
Kotak hitam yang menyimpan maklumat mengenai kelajuan, ketinggian dan arah pesawat, dapat memberikan petunjuk penting mengapa pesawat itu jatuh menjunam kira-kira 3,000 meter dalam waktu kurang dari satu minit sebelum terhempas di Lautan Jawa pada Sabtu lalu.
Pasukan penyelamat telah bertungkus-lumus selama hampir seminggu untuk mengumpulkan serpihan mayat dan bangkai pesawat Sriwijaya Air Boeing 737-500 termasuk dua kotak hitam penerbangan.
Lebih 3,000 orang mengambil bahagian dalam usaha pencarian dan dibantu oleh puluhan kapal serta helikopter.
Selasa lalu, pasukan penyelam berjaya membawa naik kotak hitam pertama ke permukaan dan menjadikan fokus sekarang adalah untuk mencari kotak hitam kedua iaitu alat rakaman di dalam kokpit.
Pesawat berusia 26 tahun itu terhempas hanya empat minit sebaik sahaja berangkat dari Jakarta menuju ke bandar Pontianak. – AFP
[VIDEO] Rakaman detik penemuan kotak hitam pesawat Sriwijaya Air dalam laut