Negara bakal berdepan kemelesetan susulan PKP, kata ahli ekonomi
PETALING JAYA: Negara dijangka mengalami kemelesetan ekonomi hingga suku tahun kedua kesan daripada perintah kawalan pergerakan (PKP), kata seorang pakar ekonomi.
Yeah Kim Leng yang percaya kerajaan harus melaksanakan kembali moratorium pinjaman untuk mencegah kemuflisan berkata, PKP terbaru ini dijangka melemahkan perbelanjaan pengguna, dengan industri borong, runcit, pelancongan, pengeluaran dan eksport paling banyak terjejas sejak tahun lalu.
“Berdasarkan pengalaman dengan PKP tahun lalu, 14 hari tidak cukup untuk menurunkan jumlah kes Covid-19. (Ia) mungkin memerlukan sekurang-kurangnya satu hingga dua bulan.
“Kita mengalami kemelesetan sejak dua suku terakhir berturut-turut tahun 2020. Ia negatif dan mungkin akan berterusan dalam suku pertama tahun ini,” katanya kepada FMT.
Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi terburuk dalam sejarah seperti negara maju lain yang turut mengalami kemerosotan, akibat pandemik Covid-19 dan sekatan pergerakan.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup 17.1% pada suku kedua tahun 2020, iaitu penurunan suku tahunan paling tinggi dalam rekod, yang menunjukkan kesan buruk PKP terhadap ekonomi.
Yeah, seorang profesor di Universiti Sunway berkata, deklarasi darurat semalam juga boleh menjejaskan keyakinan pelabur.
“Pelabur mungkin sensitif terhadap ketidaktentuan dan dasar politik. Kerajaan yang tidak stabil hanya akan menimbulkan lebih banyak ketidakpastian,” katanya.
Beliau menggesa kerajaan supaya membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengatasi kemuflisan akibat kekurangan perbelanjaan pengguna, dan turut meminta golongan itu diberi bantuan sekiranya PKP melebihi dua minggu.
“Rakyat yang menganggur memerlukan moratorium pinjaman hingga sekurang-kurangnya separuh kedua tahun ini kerana mungkin lebih ramai akan menganggur sekiranya tiada bantuan diberikan,” katanya.
Kadar pengangguran Malaysia meningkat ke tahap tertinggi di 5.3% pada Mei 2020 setelah dua bulan PKP, dengan jumlah rakyat yang menganggur juga mencapai tahap tertinggi iaitu seramai 826,100 bulan itu.
Dengan pengumuman PKP buat kali kedua oleh kerajaan mulai hari ini hingga 26 Jan, keadaan boleh bertambah buruk, justeru Yeah berharap vaksin Covid-19 akan diagih secepat mungkin untuk mengawal jumlah jangkitan.
Perubahan dalam budaya politik diperlukan
Seorang lagi ahli ekonomi menyuarakan kebimbangan berkenaan politik Malaysia, dengan berkata, sokongan tidak harus dibeli dengan wang dan kedudukan kerana ia akan melemahkan ekonomi.
Ini berikutan pengisian beberapa portfolio penting oleh ahli politik apabila gabungan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih Putrajaya pada Mac 2020.
Profesor di Universiti Malaya Nazari Ismail berkata, ini akan menelan kos dan menambah hutang negara.
“Inilah sebab mengapa kerajaan kita berhutang lebih daripada RM1 trilion, termasuk jaminan kerajaan.
“Kita membayar sekitar RM40 bilion setahun untuk perkhidmatan hutang, dan ia semakin meningkat.
“Satu-satunya cara kita mampu membayar adalah dengan mengenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST), yang hanya akan menimbulkan lebih banyak kesulitan, terutama untuk kumpulan B40,” katanya kepada FMT.
Namun, sekiranya kerajaan tidak mengenakan GST, institusi kewangan yang meminjamkan wang kepada kerajaan mungkin menurunkan penilaian kredit negara yang akan mengakibatkan peningkatan kos pinjaman.
“Ini boleh menyebabkan ringgit menyusut dan menaikkan kos import, termasuk makanan,” katanya.
Nazari memetik kes di Lubnan, yang menyaksikan penilaiannya diturunkan ke tahap terendah oleh Moody’s Investors Service, selepas mengalami kerugian besar saham ketika kerajaannya berusaha mendapatkan bantuan untuk meredakan krisis kewangan.
Pada Julai 2020, Moody menurunkan penarafan Lubnan kepada “C”, iaitu peringkat paling rendah, setanding dengan Venezuela.
Nazari berkata, prospek itu “pastinya sangat membimbangkan”.
“Kita perlu ubah budaya politik kita. Masyarakat mesti bersikap kurang materialistik
“Pemimpin perlu dipilih bukan kerana dapat memberi kita wang dan kedudukan, tetapi kerana mereka beretika dan dapat menggubal dasar yang baik untuk negara,” katanya.
Nazari berkata, rakyat juga perlu dididik untuk menyedari bahaya bergantung pada hutang, sama ada oleh kerajaan, syarikat atau isi rumah.