KWSP dijangka umum kadar dividen ‘memuaskan’ untuk 2020, meskipun negara dibadai Covid-19

Terkini di My KMU !!!!---->

 

PETALING JAYA: Walaupun negara bawah perintah darurat dan sekatan pergerakan, tidak semuanya suram. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan dividen 2020 yang “memuaskan” dalam tempoh terdekat, menurut sumber.

Sumber berkenaan yang rapat dengan organisasi itu memberitahu FMT bahawa perbincangan Lembaga Pengarah KWSP bertumpu kepada pemberian dividen yang “sama atau kurang sedikit” daripada kadar sebelum ini.

KWSP meluluskan dividen 5.45% bagi Simpanan Konvensional dan 5.0% bagi Simpanan Shariah untuk tahun kewangan 2019.

Kadar dividen KWSP itu di terima baik oleh komuniti perniagaan dan masyarakat amnya kerana jauh lebih tinggi berbanding dengan kadar faedah simpanan tetap bank.

“Ramai menjangkakan kadar dividen 2020 akan terjejas “pada paras jauh lebih rendah” berbanding kadar 2019, kerana Covid-19, namun KWSP tetap memberikan pulangan memuaskan kepada pencarum,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata KWSP lazimnya membuat pengumuman dividen pada minggu pertama Febuari namun ia mungkin lewat sedikit kali ini.

“KWSP perlu mengambil kira impak pengeluaran skim khas seperti i-Lestari dan i-Sinar untuk membantu pencarum yang terkesan akibat Covid-19, sebelum pengumuman dividen dibuat,” kata sumber itu.

Sumber itu akur Bursa Malaysia terkesan akibat pelbagai sekatan dan kawalan pergerakan susulan Covid-19 tahun lalu, sehingga menjejaskan pulangan pelaburan tempatan KWSP.

Namun, pulangan pelaburan di luar negara yang agak baik secara keseluruhan, memberikan KWSP “keyakinan mengumumkan dividen memuaskan sekali lagi,” kata beliau.

KWSP membayar RM45.82 bilion ringgit sebagai dividen kepada pencarum untuk 2019. Daripada jumlah itu, RM41.68 bilion adalah untuk simpanan konvensional dan RM4.14 billion untuk simpanan syariah. Organisasi itu mempunyai kira-kira 7 juta pencarum aktif.

Tahun lalu, ekonomi global terjejas teruk apabila wabak Covid-19 melumpuhkan perdagangan antarabangsa, mencetuskan pengangguran kronik dan memaksa banyak perniagaan gulung tikar.

Di Malaysia, kelembapan itu membadai hampir semua sektor ekonomi. Pertumbuhan negara untuk 2020 dianggar menguncup sebanyak 4.5% sebelum dijangka kembali pulih pada kadar antara 6.5 hingga 7.5% tahun ini.

Leave a Reply