Tiada kompromi, KSU akan siasat isu Twitter SKMM
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menyiasat ciapan lama akaun Twitter Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang didakwa bersifat lucah dan jelik yang dikongsi semula netizen barubaru ini.
Menterinya, Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan berkata siasatan tersebut akan dijalankan oleh ketua setiausahanya, Mohammad Mentek.
“Saya memandang serius isu tular tentang ciapan tidak senonoh pada tahun 2014, yang dikaitkan dengan akaun rasmi Twitter MCMC.
“Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh dari semua sudut, termasuk tatacara pengendalian akaun Twitter tersebut.
“Sekiranya didapati berlakunya kesalahan, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab, tidak kira sama ada mereka masih lagi berkhidmat di SKMM atau pun tidak.
“Kami di KKMM tidak akan berkompromi serta akan bertindak secara telus dalam menangani isu ini,” katanya.
SKMM semalam menggantung akaun @SKMM_MCMC buat sementara waktu selepas ciapan lama akaun itu yang bersifat lucah dan jelik dikongsi semula netizen.
SKMM semalam menyah aktif akaun Twitter rasminya buat sementara waktu dengan mendakwa ia telah diceroboh.
SKMM keluar 92 kompaun RM4.6 juta kepada syarikat telekomunikasi
Perkembangan itu hadir setelah ciapan lama dari akaun itu dikongsi semula. Ciapan berkenaan dikatakan dimuat naik pemilik akaun sebelumnya.
Tangkap layar ciapan yang dipercayai dibuat sekitar tahun 2014 memaparkan penggunaan bahasa kesat dan lucah.
Ia diciap semula pengguna Twitter tidak lama selepas SKMM hari ini mengeluarkan kenyataan menggesa netizen untuk bersikap sopan dan menjaga kesopanan ketika membuat komen di media sosial, terutama dalam konteks pengisytiharan darurat.
Netizen bertindak balas dengan mengejek SKMM kerana ciapan lama itu.
Susulan itu, dalam kenyataan berasingan, SKMM mendakwa bahawa akaun Twitternya “diceroboh” oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Dalam respons segera, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mempersoalkan dakwaan SKMM yang mengatakan akaun itu dicerbohoh.
Sebelum ini, seorang individu yang menggunakan akaun Twitter @NazruiHakim mengaku sebagai pemilik asal akaun SKMM, dan mendakwa dia telah menjual akaun itu ketika dia masih berada di sekolah menengah tanpa memadam ciapan lama.
Katanya, akaun berkenaan pada masa itu mempunyai 50,000 pengikut dan dia tidak mengetahui bagaimana akhirnya akaun itu menjadi akaun rasmi SKMM.
You must be logged in to post a comment.