SKMM keluar 92 kompaun RM4.6 juta kepada syarikat telekomunikasi

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengeluarkan 92 kompaun berjumlah RM4.6 juta kepada syarikat telekomunikasi atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 105(3) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 setakat suku kedua tahun ini.

SKMM menerusi kenyataan hari ini berkata, semua kompaun yang dikeluarkan itu meliputi kesalahan untuk prestasi penyelesaian aduan bil, prestasi penyelesaian aduan bukan bil dan standard prestasi pengendalian panggilan (talian hotline pelanggan).

Katanya, jumlah dan nilai kompaun sehingga suku kedua 2020 jauh lebih tinggi berbanding sepanjang tahun lalu yang menyaksikan hanya 26 kompaun berjumlah RM960,000 dikeluarkan.

Ia berkata, peningkatan jumlah kompaun yang dikeluarkan sehingga suku kedua 2020 itu menunjukkan ketegasan dan komitmen SKMM dalam memastikan kualiti pengalaman pengguna sentiasa terjamin.



Ini sekaligus mengukuhkan keyakinan dan kebolehpercayaan pengguna terhadap industri komunikasi dan multimedia negara serta memastikan kemampanan industri terhadap kepentingan pengguna untuk jangka panjang, kata SKMM.

“SKMM akan terus bertindak tegas terhadap mereka yang gagal mengekalkan standard ditetapkan dalam AKM 1998, Piawaian Mandatori untuk Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) serta Kod Pengguna Am.

“Mereka yang ingkar boleh didenda mengikut Seksyen 105(3) AKM 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 bagi setiap kesalahan.”

Katanya, pihak industri disaran meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi kepentingan pengguna dan seterusnya memperkukuh kepercayaan pelanggan terhadap perkhidmatan mereka.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker